Ng Sze Han. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sisa pepejal bakal jadi sumber tenaga elektrik

SHAH ALAM, 8 NOV: Worldwide Holdings Berhad (WHB), anak syarikat Kerajaan Negeri akan membangunkan teknologi bagi menukar sisa pepejal di Selangor menjadi sumber elektrik dan baja.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, WHB kini diberi tanggungjawab dalam menguruskan  Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu ((ISWMC) dan dalam jangka panjang diharap sisa pepejal tersebut dapat dimanfaatkan.

“Dengan adanya teknologi baharu, sisa pepejal di Selangor bukan dilupuskan semata-mata tetapi akan menjadi sumber tenaga elektrik, penghasilan baja selain kutipan barangan kitar semula juga boleh menambah nilai kepada aktiviti ekonomi Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau  (PAKATAN-Kinrara) berkata demikian bagi menjawab soalan Dewan Undangan Negeri Teratai, Lai Wai Chong berkenaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Selangor.

Katanya, secara dasar, pengurusan sisa pepejal dan kerja-kerja pembersihan awam yang berkualiti memerlukan perbelanjaan besar dan sukar dikurangkan oleh Kerajaan Negeri.

“Ia kerana berlaku pertumbuhan pesat bandar-bandar, pertambahan kawasan perumahan dan penambahan bilangan penduduk,” katanya.

Justeru katanya, menerusi penggunaan teknologi baharu dalam pengurusan sampah diharap mampu mengubah persekitaran negeri ini.

Bagaimanapun, Sze Han berkata, usaha untuk mengurangkan kos pelupusan sampah hanya boleh dicapai melalui pengurangan jumlah sampah itu sendiri dan komuniti dididik melakukan pengasingan sisa pepejal.

“Kaedah terbaik dalam mengurangkan sampah adalah melalui pengasingan sisa pepejal dan melakukan proses kitar semula,” katanya.

Selain itu, katanya, Pihak Berkuasa Tempatan juga diminta memperhebatkan kempen kesedaran berkenaan pengasingan sisa pepejal dan memperkenalkan sistem pengasingan sisa di peringkat isi rumah atau  komuniti penduduk.


Pengarang :