Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergambar bersama peserta yang mengambil bahagian pada Majlis Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Rumah Tradisional Tercantik serta Pertandingan Lagu Kitakan Sekampung Selangor di Accapella Suite Hotel Seksyen 13, Shah Alam pada 16 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Skim Insurans Berkelompok Ketua Kampung dilancar tahun depan

SHAH ALAM, 16 NOV: Skim Insurans Berkelompok Ketua Kampung bakal dilancar seawalnya tahun depan demi menghargai khidmat semua ketua kampung di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan Skim Insurans Berkelompok Ketua Kampung itu akan dilaksanakan dengan sebaiknya bagi memberi perlindungan kepada semua ketua kampung yang menghadapi bencana.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan perbincangan dengan syarikat insurans bagi memastikan kelancaran dan proses pelaksanaannya kelak berjalan dengan baik dan teratur.

“Malah, kita sudah mendapat tawaran dan kini sedang dalam proses menilai beberapa agensi yang bersesuaian untuk mengambil Skim Insurans Berkelompok Ketua Kampung.

“Selepas ini, kita akan tengok tawaran agensi mana terbaik dan kita akan uruskan secepat yang mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Selangor di Hotel Acapella, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Jawatankuasa Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Menerusi Pembentangan Belanjawan 2020, Kerajaan Negeri mengumumkan Skim Insurans Berkelompok Ketua Kampung di Selangor.

Pencarum iaitu ketua kampung akan menerima perlindungan sekiranya berlaku kematian, hilang keupayaan kekal, manfaat belanja perubatan, elaun penghospitalan dan belanja pengebumian yang disebabkan oleh kemalangan.

Insurans itu akan memberi pelindungan berjumlah RM15,000 untuk kematian dan cacat kekal, RM13,000 untuk caj hospital serta khairat kematian RM1,000.


Pengarang :