Reaksi pelajar SMK Jalan Kebun ketika diumumkan johan syarikat terbaik keseluruhan dalam Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) ke-21 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berlangsung di De Palma Hotel, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIPENDIDIKANSELANGOR

SMK Jalan Kebun rangkul Anugerah Syarikat Terbaik PROTUNe

SHAH ALAM, 7 NOV: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun berjaya merangkul Anugerah Syarikat Terbaik Program Tunas Niaga (PROTUNe) pada Majlis Konvensyen PROTUNe kali ke-21 di Hotel De Palma Shah Alam, di sini, hari ini.

Konvensyen PROTUNe anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor dan bertujuan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda.

Pengetua SMK Jalan Kebun, Hishamuddin Sirat berkata, beliau menzahirkan terima kasih kepada PKNS dan kesemua ahli PROTUNe yang komited menjayakan program terbabit.

“Alhamdulillah syukur atas usaha kita semua, SMK Jalan Kebun berjaya merangkul johan syarikat terbaik PROTUNe dan ia sekali gus menjadikan kemenangan ini adalah kali keenam sejak mula mengikuti pada 2013.

“Tahun lalu kita tidak berjaya memenangi johan tapi kali ini SMK Jalan Kebun membuat kemunculan semula dengan menghasilkan pelbagai barangan bersifat inovatif selain menerapkan budaya cintakan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvensyen PROTUNe kali ke-21 di Hotel De Palma Shah Alam, di sini, hari ini.

Sebanyak 12 anugerah dipertandingkan antaranya Anugerah Hartawan Saidina 3x, Anugerah Harapan, Anugerah Produk Kreatif Terbaik, Anugerah Produk Inovasi Terbaik, Anugerah Perkhidmatan Terbaik, Anugerah Laporan Kewangan Terbaik, Anugerah Pekerja Terbaik, Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Anugerah Pengetua Terbaik, Anugerah Sekolah Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Syarikat Terbaik.

Manakala, bagi peserta Program Perintis Usahawan (PPU) terdapat lima anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Persembahan Pentas Terbaik (PPU 2019), Anugerah Jualan Terbaik Keseluruhan PPU 2019, Kejohanan Hartawan Saidina 3x Terbaik PPU 2019, Anugerah Guru Besar Perintis Terbaik 2019 dan Anugerah Guru Perintis Terbaik 2019.

Landasan itu sekali gus memberikan peluang kepada peserta untuk mengikuti bengkel dan seminar bimbingan berkaitan dengan pengurusan syarikat, latihan keusahawanan dan perniagaan secara praktikal seperti penjualan produk makanan dan minuman, seni kraftangan, pakaian serta perkhidmatan seperti fotografi, dobi, juga katering.


Pengarang :