ADNSELANGOR

SMKA Kuala Selangor rangkul pingat emas di Jerman

SHAH ALAM, 6 NOV: Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor berjaya membawa pulang pingat emas di Pameran Perdagangan Antarabangsa, Idea Penciptaan, Idea Produk Baru (IENA) 2019 di Jerman pada 30 Oktober sehingga 3 November lalu.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, IENA ke 71 adalah pameran inovasi tertua di dunia membabitkan perdagangan unik mempamerkan pelbagai ciptaan produk baharu dan penemuan inovasi terbesar dunia serta mengumpulkan pereka cipta seluruh dunia.

Katanya, beliau turut berbangga apabila SMKA Kuala Selangor berjaya melepasi tapisan menyertai IENA di Nuremberg, Jerman.

“Syabas kepada SMKA Kuala Selangor kerana menjadi satu-satunya wakil tunggal dan sekolah pertama dari Malaysia terlibat dalam pameran ini.

“Selain berjaya membawa pulang pingat emas, sekolah itu juga berjaya memenangi Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan bagi kategori ‘Pencipta Muda’ di IENA 2019.

“Pasukan ini berjaya mereka satu produk set permainan yang dikenali sebagai “Educational Chess Set World History Exploration Challenge” yang memaparkan sejarah ketamadunan dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Rozana berkata, set permainan berkonsepkan permainan papan menyeronokkan itu sememangnya direka khas untuk menarik minat semua golongan khususnya remaja hari ini menguasai pengetahuan am berkaitan sejarah ketamadunan dunia.

Katanya, set permainan itu adalah satu gaya pembelajaran berasaskan prinsip instruksional yang mempunyai sistem permainan yang ditetapkan.

“Menariknya, IENA juga turut menawarkan beberapa seminar dan kertas kerja yang memberi tumpuan kepada dunia korporat seperti kajian ke atas pembangunan perniagaan, paten harta intelek; hubungan perniagaan dengan media, prototaip produk dan pembuatan.

“Bagaimanapun, tahniah kepada SMKA Kuala Selangor atas kejayaan mengharumkan Malaysia di peringkat antarabangsa. Semoga kejayaan ini dapat membakar semangat anak Dewan Undangan Negeri Permatang untuk terus menempa kejayaan dan kecemerlangan,” katanya.


Pengarang :