AGENSISELANGOR

Soalan susah faktor keputusan PSRA merosot

SHAH ALAM, 20 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menolak kemungkinan kemorosotan Pencapaian Peratus Kelulusan Keseluruhan bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2019 adalah disebabkan soalan peperiksaan yang sukar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, faktor soalan yang sukar bukan hanya pada PSRA, malah kertas peperiksaan diperingkat lain.

“Ia bukanlah kerana pelajar yang tidak menguasai subjek, tetapi standard soalan yang tinggi, sekali gus menyebabkan pelajar tidak memahaminya.

“Keputusan pada tahun ini berlaku penurunan, namun penurunan itu bukanlah pencapaian terendah untuk tempoh lima tahun terakhir pencapaian Peperiksaan PSRA selama ia dilaksanakan.

“Selangor masih berada dalam kerangka ‘cemerlang – 90 peratus’.Saya yakin dan percaya bahawa untuk mencapai kecemerlangan hari ini juga adalah hasil dari usaha gigih semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengisytiharaan Keputusan PSRA Selangor 2019, di Masjid Negeri, di sini.

Mohd Shahzihan berharap, keputusan tahun ini tidak dinilai hanya pada gred yang diperolehi tetapi pelbagai aspek.

“Pihak Jabatan akan mengenal pasti punca penurunan seterusnya mengambil langkah yang sewajarnya bagi mempertingkatkan mutu pencapaian PSRA di masa akan datang,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Modul Pemberdayaan Bahasa Arab Dan Bahasa Inggeris dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) akan menjadi sekolah rintis bagi menjayakan projek itu.

“Kita maklum bahawa Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris merupakan dua bahasa yang penting bagi seseorang yang ingin lebih jauh dalam menimba ilmu pengetahuan.

“Justeru itu jabatan melihat perlu adanya usaha bagi memberdayakan kedua- dua bahasa ini khususnya di sekolah,” katanya.


Pengarang :