Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SOSMA akan jadi lebih baik lepas kajian semula – Muhyiddin

PONTIAN, 8 NOV: Kajian semula dan pindaan yang akan dilakukan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bakal menjadikan pelaksanaannya lebih baik dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kajian itu melibatkan pelbagai perkara dan banyak pihak berkepentingan tinggi, dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan dan keamanan negara.

“Dari pandangan saya dan setakat hari ini, saya dapati keputusan yang telah dibuat Pakatan Harapan (PAKATAN) termasuk apa yang termaktub dalam manifesto kekal. Kita tidak akan mansuhkan SOSMA. Kita akan pinda.

“Ini memang dah disetujui, dan maklum di Parlimen berapa kali. Langkah dimulakan, kabinet ada pandangan lain, untuk kita perhalusi lagi. Libat urus, engagement, termasuk ahli parlimen, majlis peguam, ahli akademik. Lepas tu bawa balik ke kabinet, supaya dapat keputusan muktamad. Jadi ada beberapa perkara yang mungkin minta kita berikan tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Balai Polis Pekan Nanas, kira-kira 30 minit dari Pontian hari ini.

Muhyiddin sebelum ini dilapor berkata kerajaan dijangka meminda undang-undang ‘drakonian’, termasuk SOSMA pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Mac tahun depan.

Katanya kertas pindaan masih belum selesai dan beberapa proses perlu dilakukan termasuk membawanya kepada perbincangan Kabinet, sebelum dibawa ke Parlimen pada Mac depan.

Dalam sidang media itu juga, Muhyiddin menegaskan antara perkara yang diambil kira adalah soal tempoh tahanan reman SOSMA yang disifatkan terlalu panjang.

“Semalam pun saya dimaklumkan seperti ada kata tempoh reman SOSMA itu agak terlalu panjang, 28 hari. Agak menyeksakan. Pandangan itu kita ambil kira tapi kita juga ambil pandangan pihak polis yang kuatkuasakan undang-undang keganasan.

“Cukup tak tempoh. Ada yang kata tak memadai, ada yang akta cukup. Kita ada beberapa cadangan sebagai contoh ini pandangan, kita mulakan dengan 14 hari siasat, tapi nak sambung 14 hari sambung ke mahkamah minta bersetuju, baru lanjut. Jadi ada proses semak dan imbang,” jelasnya.

Muhyiddin berkata apa yang dilakukan kerajaan ketika ini bukan berkaitan ancaman pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sahaja, tetapi jenayah dan keganasan merentasi sempadan yang perlu ditangani secara bersama.

“Jadi kita perlukan kerjasama di peringkat antarabangsa. Kita perlu pertingkatkan lagi penguatkuasaan kita. Teknologi baru, kita kongsi maklumat dengan negara yang sependapat dengan kita, jadi banyak langkah. Kita tidak boleh main-main dengan soal ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :