AGENDANASIONAL

SPR keluarkan 235 kertas undi pos bagi PRK Tanjung Piai

PONTIAN, 4 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 235 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata pengeluaran kertas undi pos yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu, dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian, di sini.

“Kategori undi pos melibatkan seramai lapan orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara yang terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di luar (Malaysia), seramai 225 orang pengundi yang terdiri daripada petugas pilihan raya dan pegawai SPR (Borang1A).

Sebanyak dua permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dari Jepun dan United Kingdom,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azhar berkata kesemua sampul keutamaan undi pos telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia pada hari yang sama untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit.

Beliau juga mengingatkan agar pengundi tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

“Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang dan hukuman yang sewajarnya akan dikenakan jika didapati bersalah dan disabitkan,” kata beliau.

-BERNAMA


Pengarang :