AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPRM kenal pasti kelompangan pelan anti rasuah syarikat korporat

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia membantu syarikat korporat mengenal pasti kelompangan dalam pelan anti rasuah mereka menjelang penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM pada Jun tahun depan. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata pihaknya akan memberikan latihan dan bimbingan sebagai persiapan untuk syarikat berkenaan menangani masalah rasuah dalam organisasi masing-masing. 

Beliau berkata ini kerana antara perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penguatkuasaan akta itu adalah jika pelan anti rasuah sedia ada syarikat berkenaan mencukupi. 

“Ini merupakan cabaran yang paling besar bagi pihak SPRM kerana masih banyak persoalan yang perlu dijawab termasuk adakah mereka (syarikat korporat) ini telah bersedia sepenuhnya dengan pelan berkenaan,” katanya dalam sesi khas Konvensyen Tadbir Urus Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC) – Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2019 di sini, semalam.

Pada 5 April tahun lalu, Seksyen 17A telah diluluskan di Parlimen yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial.

Penguatkuasaan Seksyen 17A itu melebarkan kuasa SPRM untuk mendakwa organisasi komersial yang terlibat dalam rasuah, menandakan peralihan yang ketara daripada tumpuan yang diberikan kepada individu sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :