Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim menyampaikan ucapan perasmian sempena Konvensyen Pegawai-pegawai Integriti di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berlangsung di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE
ADNSELANGOR

SPRM sambut baik cadangan Selangor mahu ADN isytihar harta

SHAH ALAM, 18 NOV: Tindakan Selangor mahu setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) mengisytiharkan harta masing-masing untuk menjamin ketelusan dan mengelakkan pembabitan salah guna kuasa oleh wakil rakyat di puji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Alias Salim berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri itu untuk menjadi sebuah negeri yang telus dan berintegriti walaupun setakat ini belum ada peruntukan mewajibkan semua ADN melakukan perkara itu.

“Tiada peruntukan mewajibkan mereka membuat pengisytiharan harta.

“Bagaimanapun, kita menyambut baik dan mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri supaya Selangor terus menjadi negeri yang telus dan berintegriti,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Pegawai-Pegawai Integriti di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri, di Holiday Inn, di sini.

Sebelum ini, Selangor sedia mempertimbangkan saranan SPRM supaya ADN turut mengisyitharkan harta seperti dilakukan Ahli Parlimen, Dato’ Menteri Besar dan EXCO.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan merangka mekanisme dan melakukan perbincangan lanjut berhubung perkara itu kerana keutamaan pengisyitiharan harta sebelum ini tertakluk kepada kuasa eksekutif.

“Kita sedia merangka dan berbincang jika ada keperluan untuk ADN isytihar harta seperti di Parlimen.

“Tetapi sebahagian besar (ADN) tidak terbabit dalam kuasa eksekutif sebab itu keputusan Kerajaan Negeri sebelum ini mengehadkan kita isytihar harta pada EXCO,” katanya.


Pengarang :