AGENSISELANGOR

Squad Kembara Sekolah beri kesedaran, promosi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor terus proaktif menganjurkan program jelajah dan kembara ke sekolah terpilih menerusi Program Squad Kembara Sekolah.

Pengurus Promosi dan Pembangunan Industrinya, Khuzaimah Jamaluddin berkata, program itu adalah kempen rangka promosi untuk memberikan kesedaran pelancongan kepada guru dan pelajar di Selangor.

Katanya, laluan ke arah usaha itu dilihat semakin mudah kerana kebanyakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Selangor mempunyai Kelab Pelancongan sebagai salah satu unit ko-kurikulum untuk pelajar.

“Lantas, Program Squad Kembara Sekolah bersama Tourism Selangor ini adalah usaha dinamik bagi menyemarakkan lagi kempen promosi pelancongan negeri.

“Squad Kembara ini diperkenal sejak 2009 dengan menyaksikan SMK Bandar Tasik Kesuma, Beranang dan Sekolah di SMK (P) Methodist Klang menjadi lokasi terakhir yang diadakan pada 24 dan 31 Oktober lalu.

“Program ini berjaya mendekati lebih dari 500 pelajar dan guru dari kedua-dua sekolah terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Khuzaimah berkata, dalam usaha untuk menjenamakan negeri pihaknya turut membawa secara ekslusif sebahagian operator produk pelancongan untuk turut sama menyertai program jelajah itu.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik diatur memfokuskan jaringan informasi dan taklimat pelancongan komprehensif untuk mendedahkan pelajar serta guru tentang pelbagai pilihan produk pelancongan di Selangor.

“Program ini turut menjadi landasan bagi penyaluran dan perkongsian maklumat selain informasi tentang industri pelancongan juga kebudayaan kepada pelajar.

“Ia sekali gus memperkenalkan Selangor sebagai sebuah negeri yang kaya dengan produk pelancongan menarik dan berpotensi tinggi menjadi antara destinasi pilihan pelancong di rantau Asia,” katanya.

Tidak hanya itu, program itu turut mengetengahkan elemen pelancongan warisan dan kebudayaan, pelancongan eko dan pelancongan berasaskan taman tema yang selama ini menjadi faktor penarik kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Squad Kembara Sekolah bersama Tourism Selangor kali ini mendapat kerjasama penuh beserta perkongsian pintar dari Jabatan Pendidikan Selangor, Jumpstreet Asia, Kidzania, Sunway Lagoon, Skytex Adventure, Palace Of The Golden Horses, GM Klang, Goldcoast Morib dan Pertumbuhan Kembara Anak Negeri Selangor (PKAS).

Persembahan tarian dari Orang Asal Mahmeri, Pulau Carey ketika Selangor International Indigenous Art Festival di Taman Botani, Shah Alam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dua segmen persembahan istimewa dari suku kaum Orang Asli Mah Meri, Pulau Carey dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) turut diadakan.

Persembahan yang ditampilkan adalah refleksi kepada cabang pelancongan kesenian dan kebudayaan yang menjadi tunjang kepada industri pelancongan Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, program ini akan diteruskan setiap tahun dan akan di perluaskan ke sekolah swasta dan antarabangsa.


Pengarang :