Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada 11 November 2019. -Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SRC: Najib diperintah bela diri kes seleweng RM42 juta

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Tun Razak membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengumumkan keputusan itu pada 11.34 pagi.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri Najib, 66, bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu.

Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan semua kesalahan itu antara 17 Ogos , 2011 dan 2 Mac, 2015.

Najib adalah perdana menteri keenam dari 2009 sehingga 2018 ialah ketua kerajaan yang pertama di Malaysia dihadapkan ke mahkamah.

Najib yang berada dalam kandang tertuduh kelihatan tenang semasa hakim menyampaikan keputusan itu di dalam mahkamah yang penuh sesak.

Hakim Mohd Nazlan yang membuat keputusan itu pada akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah mendapati elemen menggunakan kedudukan, tidak amanah dan pengubahan wang haram oleh tertuduh telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Hakim berkata, keterangan yang dicatatkan dalam minit mesyuarat menunjukkan tertuduh hadir pada dua mesyuarat yang meluluskan jaminan kerajaan berjumlah RM4 bilion untuk SRC oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Jaminan kerajaan bagi jumlah RM4 bilion itu telah diluluskan dalam dua peringkat iaitu RM2 bilion setiap satu.

“Pinjaman KWAP  itu tidak mungkin diluluskan tanpa jaminan kerajaan dan pinjaman itu disalurkan dengan kadar segera sekiranya tertuduh bukan seorang Perdana Menteri atau Menteri Kewangan pada ketika itu.

“Tertuduh mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas syarikat (SRC) selaku Menteri Kewangan dan MOF Inc sebagai pemegang saham tunggal SRC,” katanya.

Hakim berkata bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah cuba untuk campur tangan dalam perkara SRC tetapi telah dihalang oleh tertuduh.

Mahkamah menetapkan 3 dan 4 Disember, 9 hingga 12 Disember dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri.

“Ini adalah untuk tertuduh menyangkal keterangan. Saya mendapati elemen menyalahgunakan kedudukannya, tidak amanah dan melakukan pengubahan wang haram telah dibuktikan dan, oleh itu, tertuduh diperintah untuk membela diri,” katanya.

Selepas hakim selesai membacakan penghakiman itu, Najib ditawarkan tiga pilihan untuk membela dirinya dan beliau memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. Pasukan itu turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan peguam bela.

Terdahulu, Najib yang diiringi anaknya Nooryana Najwa dan Datuk Mohamad Nizar, tiba di Kompleks Mahkamah di sini pada 8.45 pagi.

Pada 9 pagi, beliau perlu menghadiri satu lagi perbicaraan melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Prosiding kes itu ditangguhkan pada 10 pagi berikutan Najib perlu hadir di hadapan Hakim Mohd Nazlan untuk keputusan kes SRC.

– BERNAMA


Pengarang :