Dato’ Paiman Keromo (tiga dari kanan) meneliti karya peserta sempena Perasmian Pameran Terbuka 2019 berlangsung di Galeri Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Suburkan seni, jadikan pameran terbuka aktiviti berterusan

SHAH ALAM, 13 NOV: Pelukis dan pengkarya seni khususnya di Shah Alam dan Selangor digesa menjadikan pameran terbuka yang mempamerkan hasil seni visual sebagai acara berkesinambungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor, Dato’ Paiman Keromo berkata langkah itu membolehkan pameran terbabit menjadi satu perniagaan, sekali gus memberi manfaat dan semangat kepada pengkarya seni.

“Saya amat mengalu-alukan jika kita dapat mewujudkan pasar seni di Selangor pada masa akan datang bagi melibatkan semua pihak dalam aktiviti seni visual.

“Sebagai contoh mereka mempunyai tempat untuk berkarya di pasar seni setiap hari dan pada masa sama ada orang datang berkunjung sama ada mahu membeli atau melihat hasil seni pengkarya.

Dato’ Paiman Keromo menyampaikan ucapan perasmian sempena Pameran Terbuka 2019 berlangsung di Galeri Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Hal ini juga memandangkan Selangor belum mempunyai satu tapak kekal untuk pengkarya seni berkarya atau memasarkan hasil seni mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2019 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Paiman turut memuji inisiatif Galeri Shah Alam menganjurkan pameran terbuka saban tahun, yang mampu meningkatkan pemikiran intelektual dan kefahaman seni visual tempatan juga antarabangsa.

“Pameran ini memberi ruang dan peluang kepada pengkarya seni khususnya pendatang baru untuk meluahkan ekspresi, emosi, dan pengalaman melalui arca serta kanvas menggunakan pelbagai medium.

“Malah, pameran ini juga mampu dijadikan bahan rujukan kepada individu, pengumpul kurator dan penggiat seni sama ada di peringkat institusi pengajian tinggi atau sekolah,” katanya.

Pameran anjuran Galeri Shah Alam dengan kerjasama Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor itu mempamerkan 85 karya serta dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula 11 November hingga 26 Disember ini.


Pengarang :