Reaksi Ketua Jurulatih Pasukan Malaysia Datuk Ong Kim Swee selepas tamat perlawanan menentang Myanmar pada aksi pembukaan bola sepak lelaki sempena Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Sukan SEA: Luqman akui perlawanan pertama memang sukar

MANILA, 26 NOV: Pemain bola sepak kebangsaan yang sedang meningkat naik, Luqman Hakim Shamsudin bertekad untuk memperbaiki prestasinya dalam kempen Sukan SEA, sekiranya terus diberi kepercayaan oleh pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

Penyerang berusia 17 tahun itu dan Umar Hakeem Suhar Redzuan merupakan dua pemain daripada pasukan Bawah (B) – 18 tahun yang mendapat kepercayaan Kim Swee untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi menentang Myanmar semalam.

Bagaimanapun, produk daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu yang beraksi buat kali pertama dalam perlawanan kompetitif dengan skuad Kim Swee, gagal menyinar di Stadium Memorial Rizal, di mana Malaysia terikat 1-1 bersama Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan A itu.

Berikutan itu, pemain yang telah mendapat tawaran untuk beraksi bersama pasukan di Liga Utama Belgium, KV Kortrijk mahu memperbaiki segala kelemahannya dalam menjayakan misi skuad B-22 negara untuk meraih pingat emas Sukan SEA.

Pemain Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin (kiri) ketika mengasak pemain Myanmar, Soe Moe Kyaw pada aksi pembukaan bola sepak lelaki sempena Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal hari ini.?Keputusan penuh Malaysia terikat 1-1 menentang Myanmar. Foto BERNAMA

“Saya memang tidak berpuas hati dengan aksi saya, terdapat kekurangan. Saya selalunya akan menghadapi kesukaran dalam perlawanan pertama. Mungkin pada perlawanan seterusnya saya boleh baiki kelemahan saya jika diberi kepercayaan.

“Beraksi di padang tiruan juga boleh memberi kesan, kerana bola laju sikit sebab kita tak biasa dengan padang di sini. Sebelum ini dah berlatih di turf, tetapi padang ini lebih licin dan bola lebih laju, memberi sedikit halangan kepada kita,” katanya.

Myanmar yang menampilkan aksi menyerang dan pantas, mengejutkan Malaysia dengan jaringan Kyaw Soe Moe pada minit ke-13, sebelum tandukan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak menyelamatkan skuad negara daripada kekalahan pada minit ke-24.

Selepas berehat selama tiga hari, Malaysia seterusnya akan memburu kemenangan ke atas tuan rumah Filipina pada Jumaat ini, dikuti aksi menentang Timor Leste (Isnin) dan Kemboja, dua hari kemudian.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan layak ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas di pentas Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Jakarta. Pada edisi 2017, Malaysia merangkul pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand.

-BERNAMA


Pengarang :