AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor: Jauhi jenayah seksual, pelihara maruah keluarga

SHAH ALAM, 20 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat supaya menjauhkan diri daripada terlibat dengan jenayah seksual, memelihara maruah keluarga dan memupuk sikap menghormati wanita serta kanak-kanak.

Baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor bertitah demikian selepas mendapati bilangan kes yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor membabitkan kes jenayah seksual seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram adalah tinggi.

Perkara itu dizahirkan melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit baginda, Dato’ Mohamad Munir Bani hari ini.

“Sultan Selangor menzahirkan rasa kebimbangan baginda terhadap peningkatan permasalahan jenayah seksual yang semakin serius dan berleluasa dalam masyarakat.

“Baginda amat risau dan berdukacita dengan perkembangan kes sedemikian kerana ia akan mendatangkan implikasi negatif dan mampu meruntuhkan institusi keluarga serta moral masyarakat di Selangor.

“Jenayah seksual yang semakin kritikal ini menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa terlibat yang sepatutnya dilindungi pelaku.

“Jenayah seperti ini perlu dibanteras tanpa kompromi kerana ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat dan mewujudkan kebimbangan serta prasangka buruk terhadap keluarga yang terlibat,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengesyorkan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah seksual untuk memberi peringatan kepada masyarakat supaya menjauhi perbuatan keji itu.

Baginda turut menyeru semua pihak supaya meningkatkan usaha untuk membendung jenayah seksual berkenaan melalui pendidikan, penguatkusaan undang-undang dan menekankan nilai agama.

“Mengikut ajaran Islam, mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah seksual adalah berdosa besar.

“Adalah menjadi hasrat dan harapan Sultan Selangor supaya rakyat dapat hidup aman tenteram dan bebas daripada ancaman jenayah seksual dalam negeri ini,” titah baginda.


Pengarang :