SELANGOR

Sultan Selangor terima menghadap Menteri Wilayah Persekutuan

SHAH ALAM, 22 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Pejabat Istana Selangor dalam kenyataan berkata, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menyembahkan kepada baginda pelan pembangunan semula Kampong Bharu serta isu semasa yang berkaitan.

“Tuanku memberi perkenan agar kawasan Kampong Bharu dibangunkan semula seiring dengan kemajuan pesat bandar raya Kuala Lumpur supaya terus relevan.

“Namun pada masa sama, baginda turut menekankan supaya susur galur sejarah Kampong Bharu dipelihara, ia termasuk memulihara struktur bangunan ikonik dan mengekalkan nilai-nilai asal kawasan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Turut menyertai rombongan terbabit adalah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu.


Pengarang :