Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah sempena Program Perjumpaan DYMM Sultan Selangor dengan Masyarakat Orang Asli Selangor di Pusat Kraf Orang Asli, Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat pada 3 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor titah beri peruntukan secukupnya kepada JAKOA

BANTING, 3 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri memberikan peruntukan secukupnya kepada Orang Asli di Selangor demi pembangunan masyarakat itu.

Baginda bertitah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor perlu diberikan peruntukan sewajarnya untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur, modal insan dan kebajikan Orang Asli.

“Bagaimanapun, beta difahamkan peruntukan kewangan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor diturunkan setiap tahun, sejak 2017.

“Penurunan peruntukan itu perlu dipandang serius dan dikaji semula oleh pihak Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri supaya jumlah peruntukan mencukupi juga dapat digunakan untuk pembangunan masyarakat Orang Asli di Selangor.

“Beta berharap kepentingan Orang Asli sentiasa dipelihara dan tumpuan harus diberikan kepada pembangunan asas Orang Asli,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Program Perjumpaan DYMM Sultan Selangor Dengan Masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, hari ini.

Turut berangkat bersama baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin turut berkenan supaya tanah seluas 1,445.2 ekar yang diwartakan Kerajaan Negeri untuk penempatan dan kegunaan masyarakat Orang Asli di Pulau Carey dimanfaatkan untuk kemajuan serta kesejahteraan mereka.

“Beta berharap JAKOA dapat membantu dan membimbing masyarakat Orang Asli menjalani kehidupan harian serta bersama-sama menikmati pembangunan yang berlaku di Selangor.

“Beta berkenan supaya kerajaan dapat memastikan keperluan asas masyarakat Orang Asli seperti jalan raya, air, elektrik, klinik kesihatan dan sekolah disediakan dengan baik serta sempurna,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin bersama Tengku Amir Shah berkenan melawat dan melihat aktivi di ruang pameran di Pusat Kraf Orang Asli, Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat pada 3 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin ketika menyampaikan sembah ucapan pada majlis sama berkata, Kerajaan Negeri bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal Negeri Selangor dan sejumlah RM500,000 diperuntuk bagi tujuan pembangunan modal insan serta kebajikan seperti membaik pulih rumah, projek pembangunan infrastruktur, peningkatan kesihatan juga ekonomi Orang Asal pada 2020.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat EXCO mengambil maklum perkara dibangkitkan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, yang sudah menerima surat daripada JAKOA Selangor yang menyatakan bahawa peruntukan 2019 hanya tertumpu di Perak dan Pahang sahaja.


Pengarang :