Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Amirudin Shari pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam pada 9 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin sempurnakan Sambutan Maulidur Rasul

SHAH ALAM, 9 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Stadium Malawati, di sini.

Mengiringi baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad.

Sementara itu, Mohd Amin dalam sembah ucapannya menyarankan umat Islam khususnya di Selangor, perlu meneladani ajaran dibawa Rasulullah SAW dengan sikap terbuka dan menerima kepelbagaian dalam umat Islam.

Beliau berkata, sebarang khilaf dan perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara perlu diraikan tanpa menjejaskan ikatan tali Allah SWT yang menyatukan kita.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyerahkan cek replika kepada johan kontinjen Pejabat Setiausaha Selangor pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam pada 9 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Akhlak dan budi pekerti Rasulullah SAW merupakan contoh terpuji yang patut diteladani terutamanya sifat baginda sebagai seorang pemimpin.

“Baginda sentiasa mementingkan musyawarah mendengar pandangan sabahat serta menganjurkan nilai terpuji seperti kejujuran dan zuhud.

“Sifat ini yang harus diteladani dalam melaksanakan sistem pentadbiran yang cekap demi kemakmuran dan perpaduan di Selangor,” katanya.

Mohd Amin berkata, kehadiran Islam yang dibawa Rasulullah SAW berjaya memecahkan tembok pemisah antara manusia tanpa mengira perbezaan bangsa, warna kulit, harta dan pangkat.

Malah, katanya, Baginda juga menunjukkan bahawa sifat kasih sayang sesama manusia merupakan batu asas untuk membentuk perpaduan dan persaudaraan antara kita.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bersama Amirudin Shari dan tetamu berarak
pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Stadium Malawati, Shah Alam pada 9 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Justeru, selagi umat Islam kekal berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah, ia akan sentiasa berada di landasan yang benar dan diberkati,” katanya yang turut menganggap penganjuran sambutan itu sebagai pencetus kepada kemakmuran Islam.

Pada sambutan itu, seramai 3,850 peserta daripada 77 kontinjen membabitkan pelbagai jabatan dan agensi menyertai perarakan sejauh dua kilometer bermula di pintu gerbang Stadium Mini Shah Alam.

Selain itu, Raja Muda Selangor turut berkenan menyampaikan hadiah kepada Pemenang Sepanduk dan Kontinjen Perarakan Terbaik.

Antara pemenang Kontinjen Perarakan Terbaik ialah Setiausaha Kerajaan Negeri untuk kategori Jabatan Kerajaan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) (Badan Berkanun dan Swasta Perbadanan), Masjid Darul Mustaqim (Institut Pengajian Tinggi/ Badan Bukan Kerajaan/ Masjid) dan Sekolah Agama Menengah Bestari (Perempuan) ( Sekolah Menengah).

Selain itu, pemenang sepanduk bagi kategori Jabatan Kerajaan dimenangi Pejabat Agama Daerah Petaling, PADAT (Badan Berkanun dan Swasta), Universiti Teknologi Shah Alam (Institut Pengajian Tinggi/ Badan Bukan Kerajaan/ Masjid) dan Sekolah Menengah Pasir Panjang (Perempuan) (Sekolah Menengah).


Pengarang :