AGENDANASIONAL

Tabung Biasiswa Selangor terima RM16.6 juta

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16.6 juta bagi tujuan pembiayaan pendidikan melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor kepada anak-anak negeri ini menerusi Belanjawan #Selangor2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bagi tujuan itu, tujuh program yang akan difokuskan ialah merangkumi pembiayaan pendidikan bagi peringkat siswazah dan pascasiswazah di dalam dan luar negara.

Katanya, program-program di bawah peduli  siswa itu adalah terbuka kepada semua warga Selangor yang memenuhi syarat kelayakan.

Selain itu, menurut Amirudin, skim di bawah Program Khas pula adalah ditawarkan khusus bagi pelajar Sekolah Alam Shah iaitu Program Khas Biasiswa DYMM Sultan Selangor; dan khas bagi kakitangan Negeri Selangor iaitu Program Khas Kakitangan Kerajaan

Sementara itu, RM26 juta pula diperuntukkan bagi Bantuan Sekolah Negeri Selangor khusus untuk penambahbaikan infrastruktur sekolah.

“Ia termasuk bagi sekolah agama rakyat, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil dan sekolah mubaligh serta Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan,” katanya.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM2.45 juta buat Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi atau lebih dikenali dengan Hadiah Masuk Universiti.

“Syarat kelayakan untuk memohon ialah pendapatan minimum isi rumah RM5,000 dan ke bawah. Ini berasaskan tekad Kerajaan Negeri supaya lebih ramai pelajar dan keluarga yang akan menerima manfaat daripada hasil Kerajaan Negeri,” katanya.

Sehingga kini, katanya, seramai 71,446 mahasiswa telah menerima manfaat daripada program berkenaan.


Pengarang :