Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Tahan serangan pembangkang, PAKATAN konsisten beri penjelasan

OLEH NOR BAIZURA BASRI dan MOHD FAIZAL HASSAN

PONTIAN, 15 NOV: Walaupun hanya tinggal beberapa jam lagi sebelum pengundi di Tanjung Piai memilih wakil rakyat mereka, gerak kerja kempen daripada calon yang bertanding semakin intensif dan agresif menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok.

Masuk hari ke-14 dan terakhir kempen hari ini, pelbagai isu diutarakan oleh keenam-enam calon yang bertanding dengan isu kos sara hidup dilihat mendominasi perbincangan di kedai kopi, warung malahan di kaki lima di seluruh pelosok kawasan parlimen berkenaan.

Apa yang jelas, Pakatan Harapan (PAKATAN) sebagai kerajaan sering menjadi mangsa serangan terutama oleh Barisan Nasional (BN) dalam pelbagai isu, namun jentera dan pemimpin PH yang turun berkempen ternyata konsisten dan senada dalam memberikan penjelasan.

Malah, tempoh 18 bulan membentuk kerajaan tidak sepatutnya dilihat terhadap perkara yang tidak dibuat dengan mengetepikan pelbagai usaha yang telah dibuat dan banyak lagi yang dalam perancangan.

Daripada enam calon, nama wakil PAKATAN Karmaine Sardini paling meniti di bibir para penduduk di Tanjung Piai apatah lagi PAKATAN kelihatan selesa dengan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu yang yang dilihat sebagai seorang yang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang baik dan mempunyai perwatakan baik selain latar belakang yang seimbang antara bidang keagamaan dan profesional.

Karmaine, 66, bapa kepada empat anak itu bagaimanapun dari awal menjadi ‘mangsa’ serangan peribadi daripada pihak tertentu yang menyindir anak kelahiran Peradin, Pontian, itu sebagai calon tua dan mempunyai sijil kelayakan palsu sebagai arkitek tetapi ramai pihak yang berjaya mempertahankan kelayakan beliau itu.

Bagaimanapun, Karmaine tidak membalas segala tohmahan itu dengan ‘serangan peribadi’ kepada pihak lawan, malah meningkatkan keupayaannya untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat seberapa banyak yang mungkin, setiap hari.

Ini dapat dilihat beliau kelihatan makin selesa dan lebih yakin berdepan dengan kamera dan menjawab soalan wartawan selepas seminggu berkempen berbanding mula-mula berkempen dahulu.

Daripada berjanji yang bukan-bukan, imam Masjid Al-Muttaqin, Taman Sutera, Johor Bahru itu, turun ke bawah bersama para pemimpin PH menjelaskan mengenai pelbagai isu dan rancangan kerajaan sama ada yang telah berjalan, mahupun yang bakal dilaksanakan, selain mempertahankan kerajaan PH dalam beberapa isu yang dimainkan pembangkang.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAKATAN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu berkata secara keseluruhan, berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, kempen menembusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) kategori hitam atau kelabu semakin bertambah baik dari segi respons melalui strategi rumah ke rumah, ceramah kelompok untuk semua jenis kaum, agama dan bangsa selain penggunaan poster menarik.

Tegasnya, kempen itu perlu bagi memberi penjelasan dan kepentingan untuk keluar mengundi serta perlunya balik mengundi kalau ada di luar kawasan khasnya kepada pengundi muda.

Setiausaha Agung Bersatu Senator Datuk Marzuki Yahya pula berkata PAKATAN sangat konsisten sepanjang kempen dengan pelbagai program yang telah diatur dan dikemaskini dalam mendekati setiap pengundi di Tanjung Piai ini.

Itu tegasnya bakal menyuntik kemenangan pada pilihan raya kecil itu apabila diterjemahkan kepada kertas undi dengan memilih Karmaine.

Seorang lagi pemimpin PAKATAN, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pendekatan rumah ke rumah masih diperlukan khasnya kepada pengundi di kalangan ahli keluarga dan rakan taulan dalam menerangkan kepentingan memilih calon PH.

“Kita hanya berbaki dua hari sahaja lagi dan saya sangat yakin dan percaya sokongan yang diperoleh oleh PAKATAN semakin meningkat dan dalam tempoh berapa jam sahaja lagi saya menjadi semakin yakin melalui sentuhan tangan kepimpinan,” katanya.

Norma Mohamed, ibu kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, wakil rakyat PAKATAN yang meninggal dunia 21 September lalu, pula berkata kekuatan calon PAKATAN, pastinya menjadi penentu untuk dipilih pengundi Tanjung Piai dalam meneruskan legasi dan kesinambungan ditinggalkan Allahyarham.

Tegasnya, sepanjang permulaan kempen lagi, calon PAKATAN fokus dalam meneruskan perancangan yang dimulakan Allahyarham seperti pembangunan infrastruktur sekali gus pilihan tepat pucuk pimpinan pada PRK ini.

Ternyata, kekuatan PAKATAN terletak pada calon PH sendiri, terpulang kepada masyarakat Tanjung Piai untuk menilainya sendiri.

Meskipun begitu, proses kempen turut tercalar dengan sentimen perkauman yang dimainkan oleh parti pembangkang dalam usaha menawan hati pengundi pada saat-saat terakhir ini.

Selain itu, prestasi kerajaan PAKATAN selama 18 bulan turut dijadikan ‘serangan’ sesetengah pihak kononnya parti pemerintah gagal melaksanakan janji yang pernah diutarakan pada PRU14.

Bagaimanapun, kematangan pemimpin kerajaan PAKATAN turun ke padang sedikit sebanyak dapat membantu dalam menjelaskan pelbagai isu yang menjadi persoalan masyarakat yang sering kali menjadi ‘bahan’ pihak pembangkang ketika kempen mereka.

Bagi Presiden Amanah Mohamad Sabu, adalah tidak adil apabila PAKATAN dinilai berdasarkan prestasi 18 bulan sahaja, sedangkan tempoh kerajaan yang ada adalah untuk lima tahun.

“Memang kita akui rakyat marah dengan kita…malah saya dengan diri saya sendiri pun saya marah sebab saya menteri dalam kerajaan, tetapi banyak perkara tak boleh buat kerana banyak perkara yang dibuat kerajaan dahulu kita kena perbetulkan. Dalam kabinet setiap masa kita bincangkan tentang nak tunaikan manifesto,” katanya.

Pada PRK kali ini, BN menurunkan bekas ahli parlimen Tanjung Piai selama dua penggal iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, yang tewas dengan Dr Md Farid pada PRU lalu dengan majoriti 524 undi.

Calon lain adalah Wendy Subramaniam mewakili Gerakan, yang bertanding untuk kali pertama bersendirian bagi menguji kemampuan sebenar parti itu selepas keluar daripada BN, berikutan kekalahan pada PRU14 tetapi mampu menjadi pengacau dalam memecah undi.

Bagi kempen calon daripada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) iaitu Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, beliau banyak menumpukan kepada isu nelayan serta infrastruktur untuk masyarakat setempat.

Dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar yang memulakan kempen sedikit lewat, turut membawa matlamat masing-masing dan dilihat sebagai penyeri kepada pertandingan enam penjuru itu, selain meraikan sistem demokrasi di negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :