EXCOSELANGOR

Congkak Park and Resort akan dinaik taraf

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar akan menaik taraf infrastruktur di Congkak Park and Resort di Hulu Langat bagi menarik lebih ramai pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, inisiatif itu pada masa ini masih di peringkat pernilaian di tapak pusat rekreasi itu.

“Tourism Selangor diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk menguruskan di  Congkak Park and Resort dengan proses menaik taraf dijangka siap dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” katanya.

Beliau (PAKATAN-Selat Klang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkenaan pelancongan di Hulu Langat, di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, berdasarkan penjualan tiket menunjukkan di Congkak Park and Resort berpontensi menjadi pusat pelancongan menarik di Hulu Langat.

“Mengikut rekod 2015, seramai 147,100 pengunjung datang ke Congkak Park and Resort, tahun 2016 meningkat kepada 137,137 orang tetapi menurun pada 2017 iaitu hanya seramai 72,584 pengunjung,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada 2018 jumlah pengunjung meningkat semula kepada 105,377 dan setakat September tahun ini seramai 77,023 orang pengunjung telah direkodkan.

Oleh itu, Abdul Rashid berkata, beliau optimis dengan adanya kerja-kerja menaik taraf di pusat rekreasi itu akan mampu menarik lebih ramai pengunjung terutama kepada pencinta alam sekitar.

“Inisiatif ini juga bertepatan dengan TMM 2020 sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Selangor selepas ini,” katanya.


Pengarang :