Ras Adiba Radzi ketika ditemuramah bagi mengupas isu Dilema OKU menerusi Bernama Radio di Wisma Bernama malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tambah baik Akta OKU-Ras Adiba

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan hak golongan itu dilindungi dan tidak disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan OKU Sentral Ras Adiba Radzi berkata langkah itu penting bagi memastikan wujud peraturan dan tindakan undang-undang yang selaras dikenakan terhadap mereka yang menyalah guna prasarana disediakan untuk golongan itu.

Beliau yang juga personaliti televisyen veteran berkata peraturan dan denda berbeza yang dilaksanakan setiap pihak dan badan dilihat tidak cukup ‘taring’ dan mampu mendidik masyarakat dalam menghormati keperluan komuniti OKU.

“Kita tidak ada hukuman atau denda jika sesebuah bangunan dibina tidak mengikut spesifikasi (yang selamat dan mesra OKU), begitu juga dengan syarikat atau badan yang tidak mengambil OKU bekerja, kerana sepatutnya ada satu peratus.

Kita perlu pastikan standard peraturan garis panduan yang kita boleh ikut, kita tidak boleh ‘hentam kromo’ lagi, kalau kita tidak tekankan ( kesedaran hak kesaksamaan OKU ) sampai bila-bila tak berubah,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Bernama Radio malam tadi.

Ras Adiba berkata masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran dan dipersiapkan dengan latihan bagi membantu dan menyokong komuniti itu untuk bergerak sebagai masyarakat harmoni.

-BERNAMA


Pengarang :