Ng Sze Han. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Tambang bas kepada warga asing bukan diskriminasi

RAWANG, 29 NOV: Keputusan mengenakan tambang kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor di negeri ini tidak boleh disifatkan sebagai satu bentuk diskriminasi

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, sebaliknya langkah itu dilaksanakan bagi memberi keutamaan kepada warga negara yang merupakan pembayar cukai.

“Sekiranya kita bandingkan dengan negeri lain, warga asing langsung tidak dibenar menggunakan perkhidmatan bas percuma yang disediakan Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa tempatan tetapi di Selangor warga asing masih digalakkan cuma dikenakan tambang murah kerana keutamaan kita adalah buat warga Selangor.

“Sama seperti sekolah atau hospital kerajaan mereka dibenarkan menggunakan perkhidmatan terbabit tetapi perlu bayar caj perkhidmatan atau yuran yang lebih tinggi berbanding warga negara, ini tidak boleh dikatakan diskriminasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pelancaran Laluan 3 Bas Smart Selangor Majlis Perbandaran Selayang di Batu Arang, di sini, hari ini.

Sze Han berkata, cadangan tambang RM1 kepada warga asing yang bakal dilaksanakan tahun depan itu masih murah berbanding dengan tambang pengangkutan awam milik syarikat swasta.

Sebelum itu, Sze Han berkata, terdapat organisasi bukan kerajaan membantah langkah Kerajaan Negeri mengenakan bayaran kepada warga asing yang ingin menggunakan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor.


Pengarang :