AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tanjung Piai memilih

PONTIAN, 16 NOV: Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai memilih wakil rakyat baharu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu.

Seramai 52,471 pengundi akan menunaikan hak mereka untuk memilih wakil rakyat baharu hari ini, selepas kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada BERSATU yang mewakil Pakatan Harapan (PAKATAN) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon PAKATAN Karmaine Sardini melawan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK berkenaan merupakan pilihan raya kesembilan sejak Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei tahun lalu.

Calon PAKATAN Karmaine Sardini mengundi di SK Telok Kerang hari ini. Foto BERNAMA

Daripada keseluruhan pusat mengundi yang dibuka, sebanyak 11 adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kudus, SK Tanjong Ayer Hitam, SK Parit Haji Adnan, SK Melayu Raya, SK Kampong Sawah, SK Seri Bunian, SK Pengkalan Raja, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, SMK Pekan Nanas, SK Pekan Nanas dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yung Ming 1 dan 2.

Sebanyak 16 lagi adalah di DUN Kukup merangkumi SK Jeram Batu, SJKC Bin Chong, SJKC Cheow Min, SK Rimba Terjun, SK Sungai Bunyi, SK Rambah, SK Parit Rambai, SK Belokok, SK Telok Kerang, SK Penerok, SK Sungai Boh dan SJKC Pei Chao, SMK Sri Kukup, SK Sungai Durian, SK Serkat dan SK Andek Mori.

Karmaine dijadualkan mengundi di SK Telok Kerang dan Wee di SJKC Yu Ming 1 dan 2 manakala empat lagi calon lain bukan merupakan pengundi Parlimen Tanjung Piai.

Selasa lalu, sebanyak 91 peratus daripada 280 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis telah pun melaksanakan tanggungjawab masing-masing di Bangunan Perkep, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menugaskan seramai 1,019 orang petugas untuk membantu melancarkan proses pengundian kali ini manakala polis pula meletakkan seramai 1,341 pegawai dan anggotanya untuk menjaga keselamatan dan kawalan lalu lintas.

SPR menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi dengan keputusan rasmi pengundian dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 10 malam.

Pusat penjumlahan undi rasmi yang ditetapkan bagi PRK Tanjung Piai adalah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini.

Jabatan Meteorologi Malaysia menerusi laman sesawangnya meramalkan hari ini mendung dengan suhu antara 23 dan 27 darjah Celcius pada sebelah pagi manakala ribut petir pada sebelah petang dengan suhu antara 25 dan 28 darjah Celcius.

-BERNAMA


Pengarang :