Pengunjung melihat replika rumah pada pameran hartanah Selangor di Setia City Mall, Setia Alam pada 19 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
EXCOSELANGOR

Teliti semula proses tawaran, elak pembeli Rumah Selangorku sewakan unit

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri akan meneliti semula proses penawaran kepada pembeli yang menyewakan Rumah Selangorku sebagai langkah mengekang isu penyewaan kepada pihak ketiga berleluasa.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, pihaknya menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan mengeluarkan notis bagi mendapatkan keterangan daripada pembeli yang menyewakan unit berkenaan.

“Malah, kita juga melaksanakan tindakan penyelarasan bersama Jabatan Pesuruhjaya Bangunan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjalankan operasi bersepadu untuk kesalahan yang bersampingan dengan isu penyewaan.

“Kesalahan penyewaan ini antaranya membuat pengubahsuaian tanpa kelulusan, pendawaian haram dan kacau ganggu berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1971 (Akta 171) serta Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya.

Beliau (PAKATAN-Lembah Jaya) berkata demikian menjawab pertanyaan Azmizam Zaman Huri (PAKATAN-Pelabuhan Klang) berhubung tindakan Kerajaan Negeri kepada pemilik yang menyewakan Rumah Selangorku kepada pihak ketiga, pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Haniza berkata, sehingga kini LPHS melakukan enam sesi lawatan tapak merangkumi 19 unit Rumah Selangorku bagi tujuan siasatan atas kesalahan penyewaan kepada pihak ketiga.

Katanya, sebanyak enam unit Rumah Selangorku di Pangsapuri Azaria, Bandar Parkland dikeluarkan notis selepas dipercayai menyewakan unit kepada warga asing.

“Siasatan di lokasi terbabit turut dijalankan di Pangsapuri Putra, Taman Putra Prima Puchong (2 unit); Pangsapuri Azaria, Bandar Parkland (10 unit) dan Pangsapuri Gapura Bayu, Jade Hill Kajang (1 unit); Pangsapuri De Palma, Setia Alam (2 unit); Pangsapuri De Kiara, Setia Alam (2 unit) dan Pangsapuri Trifolis, Bandar Bukit Tinggi, Klang (2 unit),” katanya.


Pengarang :