SELANGOR

Temui barisan baharu rakan Captain Quack di Sunway Lagoon

SUBANG JAYA, 29 NOV: Sempena musim cuti persekolahan ini, taman tema terulung, Sunway Lagoon menawarkan keseronokan berganda buat seisi keluarga menikmati pengalaman bermandi-manda bermula 23 November hingga 31 Disember.

Lebih istimewa, pengunjung akan diperkenalkan dengan barisan baharu rakan Captain Quack seperti Lady Quack, Bani Si Beruang Madu, Zola Si Singa Putih, Mico Si Pigmi Marmoset, Patches Si Kuda Kerdil, Ara Si Harimau Bintang, Mimi dan Mimo Si Memerang serta Belle Si Kelawar.

Pengurus Besar Sunway Lagoon, Sean Choo berkata, seiring dengan perayaan Krismas yang bakal tiba, pihaknya menyajikan pelbagai hiburan dan aktiviti mengujakan, khususnya di taman tema air ‘Surf Beach’.

Tanpa perlu memandu jauh ke pantai, katanya, pengunjung berpeluang merasai derusan bayu dan menikmati keindahan di pantai buatan terbesar di Malaysia yang didekorasi dengan rumah api bersalju.

“Bagi menghangatkan musim Natal, kami menyediakan persembahan istimewa yang pasti memukau pengunjung antaranya nyanyian carol dan kemunculan Santa yang akan menaiki ATV.

“Pada masa sama, ‘Beach Bistro’ pula akan meraikan pengunjung dengan seleksi sajian bertemakan natal termasuk pemberian hadiah misteri,” katanya ketika ditemui pada Media FAM Trip anjuran Tourism Selangor, di sini, baru-baru ini.

Aktiviti menarik lain akan dijalankan termasuk perarakan maskot Captain Quack dan rakannya iaitu Summer Splash Parade, Kiddie Paddle Boats’, ‘Water Zorb Balls’, ‘Acro-BATS’, ‘Take Home Garden Workshop’, ‘Saving The Magical Stones’, ‘Giant Soapy Bubbles’ serta ‘Cupcake Decorating Workshop’.

Selain menempatkan pasangan singa putih diberi nama Zola dan Zuri, tumpuan di taman tema ini turut terarah kepada Taman Hidupan Liar yang bakal menjadi tarikan buat pencinta hidupan serta alam semulajadi.

Pada masa sama, Sean Choo berkata, pihaknya komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pengunjung dengan menawarkan promosi hebat sempena cuti sekolah itu.

“Kami tidak pernah berpuas hati dengan kejayaan kami (sebelum ini), sebab itu kami sentiasa menambah baik kempen dan promosi setiap tahun demi memenuhi kepuasan pengunjung,” katanya.

Justeru, orang ramai berpeluang menikmati diskaun hebat menerusi pembelian pakej FAMFun berharga RM482 (Harga biasa: RM744) dan pakej 4-To-Go berharga RM532 (Harga biasa: RM808).

Pakej FAMFun dengan dua dewasa dan dua kanak-kanak, manakala pakej 4-To-Go meliputi empat tiket dewasa yang hanya untuk pembelian secara dalam talian melalui pautan www.sunwaylagoon.com

Pengunjung juga boleh mendapatkan diskaun RM5 untuk kemasukan biasa berharga berharga RM138 (dewasa berusia 13 tahun ke atas) dan RM113 (kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah).

Sunway Lagoon terletak di Bandar Sunway, Selangor dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang.


Pengarang :