Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama selepas Majlis Selangor Modest Fashion Prelude 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa pada 6 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tengku Amir Shah berkenan rasmi ‘prelude’ Selangor Modest Fashion

PETALING JAYA, 7 NOV: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan merasmikan permulaan (prelude) Selangor Modest Fashion, malam tadi.

Keberangkatan baginda ke Sunway Resort Hotel and Spa itu diiringi Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan wakil Selangor Modest Fashion Dr Zulikhwan Ayub.

Turut hadir ialah pereka terkenal, Tom Abang Saufi, perunding fesyen terkenal, Zaihani Mohd Zain dan Pengasas KL Fashion Week, Andrew Tan.

Raja Muda Selangor sebelum itu turut dipersembahkan dengan rekaan pakaian hasil pereka muda antaranya Ghaania, Emin Madrosa, Nadd Hassan, Nicole Teoh dan Fyrose.

Model memperagakan busana sempena Selangor Modest Fashion Prelude 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa pada 6 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambah menarik apabila Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri turut memperkenalkan kembali rekaan tinggalan turun-temurun Selangor iaitu Kain Telepuk, Kebaya Selangor dan Baju Sikap.

Pada acara sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang perintis iaitu Solehin Usman, Zabir Arfan dan Halimatun Saadiah.

Acara kemuncak Gala Fesyen Selangor Modest Fashion dijangka akan berlangsung pada 3 Disember ini.

Selangor Modest Fashion diwujud bagi merancakkan lagi industri fesyen tanah air khususnya busana santun yang membawa maksud fesyen sopan serta tidak mendedahkan dan menampakkan susuk tubuh badan.

Program inisiatif Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor yang mendapat kerjasama Selangor Youth Community (SAY), Yayasan Raja Muda Selangor, ‘Entrepreneurship Selangor’ dan Royale Demure ini diwujudkan untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk memberdayakan serta melahirkan pengkarya bertaraf dunia.

Beberapa program juga dilaksanakan melalui inisiatif ini iaitu Program Perantis dan Inkubator ‘Aspiring’.


Pengarang :