Tengku Amir Shah berkenan memberi ucapan penutup Forum Ekonomi Belia 2019 di Sasana Kijang Bank Negara, Kuala Lumpur pada 9 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tengku Amir Shah sempurnakan Forum Ekonomi Belia 2019

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj berkenan menyempurnakan Forum Ekonomi Belia 2019 (YEF) anjuran Persatuan Alumni Perdana Felo (PFAA), hari ini.

Baginda turut bertitah menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Youth in the Driver’s Seat’ yang menyentuh isu antaranya kuasa mengundi belia, penggunaan e-tunai serta peluang pekerjaan.

Forum yang berlangsung di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu Naib Presiden PFAA, Chan Zhe Sheng berkata persidangan yang diinspirasi dari Forum Ekonomi Dunia itu adalah medan buat golongan muda profesional negara terdiri dari pelbagai latar belakang untuk berhimpun dan berkongsi pendapat.

“Ia dijadikan landasan bagi kelompok itu bertukar pandangan dan idea berkenaan isu semasa serta hala tuju pembangunan ekonomi Malaysia untuk mencapai taraf negara maju dan membangun.

“YEF bertujuan menggalakkan perspektif dan pandangan baharu mengenai keadaan ekonomi melalui perbincangan yang membina dan berasaskan fakta,” katanya.

Forum itu berjaya menarik lebih daripada 1,800 penyertaan terdiri daripada golongan belia profesional yang mampu membawa perubahan kepada komuniti setempat.

 


Pengarang :