Selangorkini
Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada agenda politik di sebalik laporan 1MDB

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini menegaskan beliau tidak mempunyai agenda politik di sebalik laporan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang disediakan Jabatan Audit Negara (JAN) pada 2016, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Saksi berusia 70 tahun itu berkata beliau hanya khuatir untuk membentangkan dapatan JAN kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Laporan itu telah pun dicetak. Kami semua telah bersedia untuk mempertahankan laporan kami kepada PAC…Kenapa saya harus mempunyai agenda politik?,” katanya.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari keenam perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Sri Ram: Jadi, anda hanya Ketua Audit Negara yang menjalankan tugas anda?

Ambrin: Benar.

Sri Ram: Siapa yang melantik anda? Adakah pelantikan anda mengikut perlembagaan? Anda bukan penjawat awam?

Ambrim: Saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sri Ram: Adakah anda menganggap anda memenuhi tanggungjawab itu?

Ambrin: Iya, saya lakukan.

Terdahulu Ambrin ditanya mengenai mesyuarat penyelarasan yang diadakan pada 24 Feb 2016 untuk membincangkan pindaan kepada laporan 1MDB berikutan arahan daripada Najib.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Januari depan.

-BERNAMA


Pengarang :