AGENSISELANGOR

Tiada gandingan sesuai punca program Abdul Hadi tangguh

SHAH ALAM, 21 NOV: Universiti Putra Malaysia (UPM) menangguhkan program bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana belum menemui gandingan sesuai daripada kerajaan.

Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasinya, Professor Dr Azmawani Abd Rahman berkata penganjur bersetuju menangguhkan slot berkenaan selepas mengambil kira faktor masa terhad bagi mendapatkan penceramah gandingan.

“UPM sentiasa menjunjung tinggi hasrat kerajaan terutama Menteri Pendidikan sendiri yang menggalakkan penganjuran forum dan pidato membabitkan ahli politik tanpa sekatan demi menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka.

“Justeru, ahli politik dari pembangkang boleh hadir ke kampus untuk sebarang aktiviti atau program atas landasan wacana akademia disertai wakil kerajaan.

“Pada masa sama, pihak universiti bersetuju untuk membantu persatuan ini bagi menjayakan slot terbabit dengan gandingan bersesuaian pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Dr Azmawani berkata sebagai institusi ilmu, UPM turut menzahirkan komitmen akan sentiasa menggalak dan menyokong apa jua aktiviti atau program yang menyuburkan budaya intelektualisme dalam kalangan warga kampus.

“Adalah ditegaskan pihak universiti tidak akan menghalang pelaksanaan sebarang bentuk aktiviti atau program anjuran mahasiswa selagi mana ia mematuhi prosedur yang berkuat kuasa serta memberi impak positif kepada semua pelajar.

“Namun, setiap kelulusan diberikan hadir dengan tanggungjawab sewajarnya daripada penganjur,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Mahasiswa Islam UPM bercadang membawa Abdul Hadi untuk mengisi program Bicara Eksklusif Bersama Tuan Guru Hadi pada 19 November lalu.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, menyatakan program berkenaan tidak dapat dibuat ekoran makluman daripada UPM melalui surat bahagian Hal Ehwal Pelajar atas “sebab yang tidak dapat dielakkan”.


Pengarang :