AGENDANASIONAL

Tiada keperluan tingkat air percuma kepada 30 meter padu

SHAH ALAM, 4 NOV: Tiada keperluan untuk meningkatkan kadar air percuma daripada 20 kepada 30 meter padu setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya hal itu kerana kebanyakan penghuni hanya menggunakan 20 hingga 25 meter padu air yang disifatkan mencukupi.

“Malah mengikut kajian yang dilakukan, penggunaan air di negeri ini adalah paling tinggi di Malaysia dan negara jiran.

“Buat masa ini kita menggunakan kira-kira 222 liter air sehari sedangkan jumlah yang disyorkan hanya pada kadar 164 liter sehari.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri beranggapan 20 meter padu air percuma sudah mencukupi,” katanya menjawab pertanyaan lisan berhubung Skim Air Darul Ehsan pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Pada 2017, mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan kadar penggunaan air terawat di Selangor adalah 250 liter sehari perkapita, iaitu kadar tertinggi di rantau ASEAN.

Jumlah itu melebihi syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu penggunaan air terawat pada kadar 165 liter sehari perkapita sahaja.

Malah, pengunaan air di Selangor itu sebenarnya menunjukkan lebih tinggi berbanding Singapura yang hanya menggunakan 150 liter sehari perkapita dan Thailand sebanyak 90 liter sehari perkapita.


Pengarang :