AGENDANASIONAL

Tiada sebarang permohonan bawa masuk abu mayat Chin Peng

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kementerian berkaitan juga telah diarahkan untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.

“Kita tidak pernah menerima permohonan atau apa-apa tentang membawa balik abu mendiang Chin Peng.

“Kita fikirkan ada sensitiviti, ada juga jasa dan pengorbanan perwira dulu. Jadi kita tengok (siasatan) bagaimana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan ‘Smart Technology For Smart City Summit 2019 di Hotel Concorde, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia, baru-baru ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan, melaporkan abu mayat pemimpin PKM itu sudah dibawa masuk ke negara ini pada 16 September lepas, walaupun kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya masih mendapatkan maklum balas daripada tujuh negeri yang dilaporkan masih belum bersetuju untuk meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan kepada 18 tahun.

Beliau berkata maklum balas itu termasuk daripada Sarawak yang mana negeri itu mempunyai banyak perbezaan dengan Semenanjung berhubung undang-undang perkahwinannya.

“Kita mahukan supaya (had umur) ini ditingkatkan supaya anak kita tidak kira lelaki atau perempuan memahami bahawa perkahwinan itu adalah satu tanggungjawab.

“… dan kita tidak mahu kadar perceraian terutama membabitkan golongan muda adalah tinggi sehingga menjadi satu masalah sosial,” katanya.

Dr Wan Azizah sebelum ini memaklumkan setakat ini, hanya lima negeri yang bersetuju untuk meminda Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan.

Negeri itu ialah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak, manakala Selangor telah meminda enakmen itu dan Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

-BERNAMA


Pengarang :