Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Persidangan Antarabangsa ke-11 Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2019 pada 5 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tiada tempat untuk sifat tamak – Mahathir

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Dalam menggesa Malaysia menjadi sebuah negara berintegriti, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak seharusnya membenarkan rasuah dan sifat tamak menyesatkannya sekali lagi.

Beliau berkata Malaysia perlu mengembalikan nama baik dan kredibilitinya di mata dunia, dan dapat berdiri sama tinggi dengan ekonomi Asia yang sedang pesat membangun sekali lagi.

“Sifat tamak dan rasuah yang berleluasa mendorong kita untuk tersesat jalan. Ini sama sekali tidak boleh berlaku sekali lagi,” katanya dalam amanat khas di Persidangan Antarabangsa ke-11 Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2019 di sini hari ini.

Bercakap di majlis dengan tema “Membina Ketelusan dan Keyakinan: Kolaboratif, Peningkatan, dan Pengukuhan”, Dr Mahathir berkata rakyat mengharapkan agar kerajaan yang baharu mengambil alih pentadbiran negara susulan kemenangan pada pilihan raya umum tahun lepas, akan dapat menegakkan urus tadbir yang baik, berintegriti, dan menyingkirkan amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

“Tuntutan-tuntutan ini adalah hasil kepada tindak tanduk pentadbiran kerajaan sebelum ini dalam melaksanakan tugas-tugas mereka. Mereka tidak mempedulikan nilai-nilai murni ini, dan natijahnya mereka ditolak oleh rakyat Malaysia yang tidak tahan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang berleluasa.

Perdana Menteri berkata sekitar waktu inilah jenayah kewangan dilakukan secara berleluasa dan terang-terangan tanpa mempedulikan undang-undang dan peraturan.

“Perbuatan ini boleh berlaku kerana mereka yang berkuasa dan diberi kepercayaan untuk mempertahankan undang-undang ini, merekalah yang sebaliknya melakukan jenayahnya,” katanya di persidangan yang dianjurkan oleh pertubuhan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Compliance Officers’ Networking Group (CONG).

Dr Mahathir berkata antara langkah pantas yang diambil oleh kerajaan baharu bagi memastikan tindakan-tindakan sedemikian dapat dihentikan segera adalah penubuhan serta pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), bagi mempertahankan integriti negara dengan lebih mantap lagi.

Dr Mahathir berkata entiti ini dibangunkan selepas negara mengambil iktibar dari pengalaman pahit bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa menghalang pembahagian kekayaan yang adil, memberi kesan kepada potensi ekonomi negara, menjejaskan masa depan, menghancurkan kekuatan dan keberkesanan institusi di samping melemahkan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata pembaharuan ekonomi tidak dapat terlaksana dalam Malaysia Baharu, kecuali sekiranya ia diiringi dengan pembaharuan institusi dan urus tadbir.

Beliau menegaskan bahawa sementara undang-undang dan rangka kerja tadbir urus memainkan peranan penting dalam Malaysia yang bersih, telus dan bertanggungjawab, ia bagaimanapun tidak dapat bergerak jauh tanpa diiringi dengan kepimpinan yang tepat.

“Ia perlu diiringi dengan kepimpinan yang tepat dalam sektor swasta dan awam, bagi memastikan bahawa budaya integriti yang baharu diperkukuhkan ini akan menjadi satu amalan yang biasa di Malysia,” katanya.

“Malaysia Baharu tidak dapat berlaku sekiranya kita tidak ubah dan buang mentaliti lama yang boleh menerima amalan-amalan rasuah,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata sepanjang pemerhatiannya sejak beberapa tahun lepas, rasuah dilihat mencapai tahap di mana ia hampir menjadi gaya hidup biasa, dengan wang tunai yang banyak boleh dipindah begitu mudah dan dianggap sebagai ‘raja’.

“Tanpa perubahan ketara dalam tingkah laku dan jangkaan rakyat Malaysia yang memihak kepada ketelusan dan akauntabiliti, usaha kita untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama akan gagal,” katanya.

Perdana Menteri turut mempersetujui pelancaran inisiatif Perkongsian Awam-Swasta (PPP) sebagai usaha memerangi jenayah kewangan yang lebih baik.

Ia merupakan kolaborasi antara Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang serta institusi-institusi kewangan.

PPP memupuk sinergi dalam pencegahan kegiatan pengubahan wang haram atau langkah-langkah membanteras tindakan keganasan, dan ini dicapai menerusi perkongsian risikan kewangan yang efektif, tepat pada masanya dan lancar bagi tujuan pencegahan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang.

“Bagi PPP Malaysia; institusi kewangan penguatkuasaan undang-undang akan terus mematuhi kerangka kerja undang-undang perlindungan data dalam memerangi jenayah kewangan,” kata Dr Mahathir.

-BERNAMA


Pengarang :