AGENDA NASIONAL

Tidak mustahil capai kemalangan sifar di tempat kerja

PUTRAJAYA, 18 NOV: Tidak mustahil sifar kemalangan dapat dicapai berdasarkan trend penurunan kadar kemalangan di tempat kerja serta langkah-langkah proaktif yang diambil syarikat dan majikan dalam menjayakan kemalangan sifar di tempat kerja, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, banyak majikan dan pekerja kini menunjukkan komitmen tinggi melaksanakan inisiatif tersendiri dengan berpandukan kempen kepentingan menjaga keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diterajui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta beberapa pihak berkepentingan.

“Sifar kemalangan tidak mustahil dicapai jika komitmen yang ditunjukkan semua pihak ketika ini ditingkatkan. Malah sudah ada syarikat atau pemaju berjaya berbuat demikian ketika kempen sifar kemalangan diadakan pada Julai lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mahfuz yang sebelum itu menyampaikan hadiah pertandingan mencipta video pendek KKP Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) peringkat kebangsaan berkata kadar kemalangan maut di tempat kerja pada tahun lepas (2018) menurun 14 peratus iaitu 4.14/100,000 pekerja berbanding 4.90/100,000 pada 2017.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan berkata, kadar kemalangan di tempat kerja juga menurun 18 peratus pada 2018 iaitu 2.40/1,000 pekerja berbanding 2.93/1,000 pekerja pada 2017.

Tanpa menyatakan bila sasaran visi sifar kemalangan boleh dicapai secara total, Mahfuz bagaimanapun menyifatkan pengurangan kes sedemikian sebagai satu perkembangan yang baik untuk negara dan mahu statistik itu terus menurun setiap tahun.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian itu kerana banyak lagi kerja yang perlu dilakukan agar usaha kerajaan ke arah visi sifar kemalangan dapat direalisasikan dan ia bukan mustahil dicapai jika semua pihak menggandakan usaha untuk menjayakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, 21,775 notis dikeluarkan oleh JKKP untuk tahun ini sehingga Oktober lepas di mana 1,217 kesalahan dikenakan kompaun dan 356 kes pendakwaan difailkan di mahkamah berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja melibatkan jumlah penalti RM4.4 juta.

– BERNAMA


Pengarang :