AGENDANASIONAL

Tiga balai cerap Selangor dinaik taraf

SHAH ALAM, 1 NOV: Tiga balai cerap di negeri ini iaitu Balai Cerap Selangor, Sungai Lang dan Sabak Bernam akan dinaik taraf menerusi peruntukan RM1 juta dalam Belanjawan #Selangor2020.

Balai Cerap adalah satu kemudahan yang disediakan untuk mengkaji dan meneroka kejadian serta rahsia alam cakerawala.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerja menaik taraf ketiga-tiga balai cerap itu dilakukan bagi menambah baik prasana di ketiga-tiga pusat itu bagi aktiviti pembangunan ilmu astronomi.

Katanya, Balai Cerap Selangor telah mula beroperasi sejak 2010 selepas ia dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 19 Julai 2012.

“Banyak pengkaji melakukan kajian dan penyelidikan angkasa berhubung pergerakan dan peredaran objek samawi, kajian pembiasan ufuk serta kajian kecerahan langit yang berhubung secara langsung dengan ibadah harian manusia di ketiga-tiga balai cerap itu.

“Pada masa sama, Balai Cerap Selangor turut menjadi tempat kajian beberapa penyelidik terutamanya daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga balai cerap itu juga kerap menjadi lokasi lawatan khususnya pelajar sekolah rendah, menengah dan kolej serta agensi kerajaan dan swasta yang berminat mendalami ilmu angkasa.


Pengarang :