AGENDA JENAYAH

Tiga pengawal keselamatan SIC ditahan

PUTRAJAYA, 4 NOV: Tiga pengawal keselamatan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ditahan semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian komponen dan barangan pasukan yang beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ACP Zulkifli Adamshah berkata tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan, pada kira-kira 1 pagi semalam.

“Mereka ditahan ketika dipanggil ke IPD KLIA semalam, dan polis telah mendapat perintah reman untuk menahan mereka selama tiga hari sehingga Rabu ini (6 November),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Insiden kecurian melibatkan beberapa pasukan dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat, antara 1 hingga 5 pagi. Antara paling terkesan dengan kes berkenaan ialah pasukan Angel Nieto, di mana beberapa alat ganti seperti tayar depan, set lengkap penyerap hentak dan brek bagi jentera kelas Moto2 dan Moto3 dicuri.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata kawasan ‘paddock’ iaitu tempat kecurian dipercayai berlaku merupakan di bawah tanggungjawab SIC dan bukan di bawah kawasan rondaan polis.

“Ketika acara berlangsung, kawasan paddock di bawah SIC dan pihak SIC perlu melantik syarikat keselamatan khusus, bagi mengawal keadaan sebagaimana ditetapkan penganjur MotoGP. Sebab itu, untuk masuk ke kawasan itu, perlu ada pas khas yang dikeluarkan SIC,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :