Tiga Ratu Ais iaitu Siti Jumaidah Bensali, Salehah Abu Nor dan Nurul Atiqah Tamarunberg ambar di Restoran Hakim Seksyen 7, Shah Alam pada 14 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tiga Ratu Ais bawa cabaran takluk Antartika

SHAH ALAM, 14 NOV: Selepas hampir dua tahun Pencarian Ratu Ais, kini tiga finalis protege berjaya meraih gelaran itu untuk menjayakan misi pengembaraan bersama Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Abdul Kadir ke Antartika bermula 18 Disember ini.

Ketiga-tiga protege berkenaan dipilih untuk membawa cabaran sebagai inspirasi baharu anak muda ke Kutub Selatan selepas mengalahkan kira-kira 1,000 peserta lain sejak penyertaannya dibuka pada 2017.

Sharifah yang juga penjelajah wanita negara dan mentor Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) berkata, mereka adalah peserta terbaik yang berjaya melalui pelbagai ujian mencabar daripada semua aspek termasuk mental dan fizikal.

Dr Sharifah Mazlina Abdul Kadir. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita membuat pemilihan protege yang benar-benar berkualiti untuk membawa misi ini secara berkumpulan, selain menepati piawaian yang kita mahukan sebagai protege.

“Malah, mereka juga memenuhi lima elemen penting iaitu mental, emosional, fizikal, sosial dan spiritual memandangkan kekuatan fizikal bukan ukuran semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi Misi Negara: AWETA 2018/2019, di Restoran Hakim Seksyen 7, di sini, hari ini.

Terdahulu, tiga protege yang diperkenalkan ialah Siti Jumaidah Bensali, 34; Salehah Abu Nor, 33, dan Nurul Atiqah Tamarun, 31.

Mengulas lanjut, Sharifah berkata, laluan yang akan digunakan untuk ekspedisi di benua tanpa habitat manusia itu ialah ‘Last Degree 89 selsius To The South Pole’ dengan jarak sejauh 110 kilometer (km).

“Mereka akan menggunakan teknik berski ketika suhu di bawah sub-zero bagi mencari kapsul yang ditanam saya (Sharifah) dalam ekspedisi 2004 sebelum menanam kapsul baharu,” katanya.

Katanya, tiga hari sebelum memasuki benua berkenaan, pihak Antartika akan membuat pemeriksaan peralatan bagi memastikan barang yang dibawa mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kami tidak dibenarkan membawa peralatan melebihi 45 kilogram (kg) selain perlu menyokong kempen hijau di sana,” katanya.

Pada masa sama, Sharifah berkata, sebagai usaha menyokong misi jelajah berkenaan, pihaknya membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyertai Program Bergambar Di Antartika Bersama AWETA.

Katanya, antara tempat menarik yang boleh dipilih untuk bergambar adalah Crystal Globe 90 Darjah Selsius South, 90 S Metal Landmark, South Pole Edmundson Signboard dan Uniob Glacier Base Camp.

“Mereka hanya perlu ke laman sesawang www.aweta2018.my dan memilih pakej yang dikehendaki.

“Harga yang ditawarkan sangat berpatutan, sekali gus dapat membantu AWETA untuk mencari dana tambahan bagi ekspedisi ini,” katanya.


Pengarang :