AGENDANASIONAL

Tinjauan mesra pada pilihan raya tidak perlukan permit – Peguam Negara

PUTRAJAYA, 14 NOV: Kekecohan berhubung perlu mendapat permit polis untuk program tinjauan mesra dan berkempen dari pintu ke pintu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, akhirnya terjawab.

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan bahawa program tinjauan mesra atau walkabouts dan kempen dari pintu ke rumah tidak memerlukan permit.

Merujuk kepada Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang dipetik oleh polis dalam mengisytiharkan keperluan bagi permit itu, Thomas berkata “ketetapan itu tidak menyatakan secara jelas merujuk kepada tinjauan mesra dan kempen pintu ke pintu”.

“Perkataan digunakan dalam ketetapan itu tidak boleh, di bawah mana-mana keadaan, ditafsirkan diperluaskan kepada tinjauan mesra dan kempen pintu ke pintu.

“Fakta dari segi sejarah adalah sejak 1955, kaedah ini bagi merayu pengundi adalah yang paling popular digunakan oleh calon semua parti politik dan tidak perlukan permit,” katanya dalam kenyataan.

Pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata polis menetapkan bahawa semua parti dan calon bertanding dalam pilihan raya kecil perlu mendapat permit untuk berkempen dari rumah ke rumah.

Beliau berkata polis juga menetapkan bahawa program tinjauan mesra, yang dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai had masa dan lokasi yang jelas untuk tujuan pemantauan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata permit akan memudahkan pemantauan, untuk memastikan perkara berkaitan keselamatan awam diberikan keutamaan, dan untuk mengelak kejadian provokasi dan pergaduhan antara parti yang bertanding.

“Ia juga memudahkan kami untuk memantau pergerakan calon-calon,” tegasnya.

Keperluan mendapatkan permit menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pemimpin parti pembangkang yang menggesa polis menyemak semua arahan bagi tinjauan mesra dan kempen dari rumah ke rumah, menyatakan ia dilihat sebagai membebankan.

Di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menyangkal dakwaan bahawa SPR mengenakan syarat perlu mendapatkan permit untuk program tinjauan mesra pada pertengahan kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Beliau berkata SPR telah menetapkan syarat itu sebelum kempen bermula dan untuk menjustifikasikan kenyataannya, beliau berkata 42 permit bagi tinjauan mesra diluluskan polis pada hari penamaan calon itu sendiri pada 2 November.

Juga pada hari itu, SPR telah mengadakan mesyuarat dengan semua ejen dan wakil calon berhubung perkara itu, katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar daripada Barisan Nasional, sementara itu mencetuskan kekecohan dalam Dewan apabila mendesak Dewan Rakyat membatalkan syarat mendapatkan permit itu tetapi Timbalan Yang Dipertua Nga Kor Ming menjelaskan hanya Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan polis untuk berbuat demikian.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini (Pakatan Harapan), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian PRK itu ditetapkan Sabtu ini.

-BERNAMA


Pengarang :