AGENDANASIONAL

TNB sedia hadapi musim tengkujuh

SHAH ALAM, 7 NOV: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan persiapan rapi sebagai persediaan awal pengurusan bencana banjir sempena musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, pihaknya menyediakan set janakuasa bergerak dan mudah alih di beberapa lokasi strategik.

“Berlanjutan dari banjir 2014, TNB mengambil langkah meninggikan tapak pencawang dan binaan penghadang banjir di pintu masuk pencawang juga dilaksanakan.

“Pasukan Bertindak Kecemasan yang bertugas 24 jam sehari juga akan digerak untuk membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebab lain dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan.

Ir Baharin berkata, TNB akan menghentikan operasi jika pencawang elektrik ditenggelami air dan sambungan semula hanya dibuat selepas keadaan selamat.

Katanya TNB akan membuka bilik gerakan di negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik.

“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihat untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan segera,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

“Jauhi dari menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Setelah banjir surut pengguna dinasihat supaya mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di dalam premis yang dinaiki air,” kata Ir Baharin.


Pengarang :