Noradiazhar Sulaiman (tengah) dan Daniel Lai (kiri) pada sidang akhbar Tour de Selangor 2019 di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Foto ihsan Tour de Selangor
AGENSISELANGOR

Tour de Selangor 2019 pilih laluan baharu

SHAH ALAM, 27 NOV: Perlumbaan berbasikal Tour de Selangor (TdS) 2019 dari 18 hingga 22 Disember ini menjanjikan kelainan apabila Bukit Jugra, Banting dipilih sebagai satu daripada lima laluan meliputi jarak keseluruhan 679.2 kilometer (km).

Bukit Jugra setinggi 120 meter dari aras laut akan menjadi garisan penamat peringkat ketiga TdS dari Cyberjaya sejauh 90.1 km pada 20 Disember, sekali gus memberi cabaran besar kepada pelumba.

Laluan lain Tds edisi kedua itu ialah peringkat pertama (Pulau Indah-Batang Kali sejauh 176.9 km), kedua (Sungai Buloh-Kajang, 159.4 km), empat (Selayang-Sungai Besar, 144.6 km) dan kelima (Klang-Shah Alam, 108.2 km).

Pengarah Perlumbaan TdS, Noradiazhar Sulaiman berkata status perlumbaan masih kekal 2.2 seperti disyaratkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berdasarkan hadiah wang tunai kemenangan bernilai RM70,000.

Katanya sebanyak 20 pasukan akan bertanding mewakili lapan pasukan Benua dan 12 pasukan negeri atau kelab luar negara.

“Antara pasukan Benua ialah dua wakil Malaysia yang kini mengungguli Jelajah UCI Asia, TSG Cycling dan Sapura yang akan menampilkan pelumba seperti Hariff Salleh sert Anuar Manan.

“Turut bersaing ialah Asian Racing (Jepun), 7 Eleven Cliqq-Air21 by Roadbike (Filipina), Customs Cycling (Indonesia) dan Embrace The World (Jerman).

“Manakala, lain-lain termasuk tuan rumah Selangor, Polis Diraja Malaysia, Johor, Kuala Lumpur, Terengganu, Perak Kencana, Kelantan Sitra, Nice Cycling (Switzerland), Nex Cycling (Singapura), Carnegie Caulfield dan Velofit (Australia),” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Pengarah Urusan Masterpacer Venture itu berkata TdS menjadi medan terbaik untuk pelumba negara dalam memungut mata kelayakan acara lebuh raya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Juara bertahan keseluruhan Muhammad Zawawi Azman (pemilik jersi Merah dan Kuning) daripada Team Sapura Cycling (TSC) juga mengesahkan penyertaan.

“Tarikan lain TdS termasuk kemunculan bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Chiang Mai 1995 negara, Tsen Seong Hoong yang sudah berusia 50 tahun dan antara anggota pasukan kebangsaan juara keseluruhan kategori Asia Tour de Langkawi 1999,” katanya.

Katanya, beliau berhasrat untuk menaikkan status perlumbaan TdS kepada 2.1 untuk edisi akan datang dengan mengambil kira taraf pasukan yang diundang menyertainya, kos penganjuran dan hadiah wang kemenangan sehingga RM213,000.

Difahamkan, TdS selama lima hari itu menerima sokongan penajaan 25 unit kereta rasmi untuk kegunaan pegawai penganjur dan pasukan iaitu model Subaru Forester dan XV, selain minuman tenaga berjenama Forca bernilai RM50,000.


Pengarang :