Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Bukit Jalil pada 9 November 2019 dan turut sama, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

TPM: Penguatkuasaan, pengawasan pusat tahfiz perlu ditangani secara holistik

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, penguatkuasaan dan pengawasan operasi pusat tahfiz di negara ini perlu ditangani secara holistik kerana ia melibatkan pelbagai pihak.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, untuk menangani perkara itu secara berkesan, undang-undang berkaitan perlu diperketatkan, termasuk pendaftaran pusat tahfiz serta peranan ibu bapa untuk mengenal pasti tahfiz yang dipilih untuk anak mereka adalah berdaftar.

“Kami akan melihat bagaimana kami dapat menanganinya secara holistik. Pengawasan ini akan dilihat secara keseluruhannya kerana ia melibatkan penguatkuasaan yang berlainan.

“Pemantauan ini mesti kita tingkatkan. Bukan sahaja pihak berkuasa tetapi mereka yang di sekeliling yang nak hantar anak ke tahfiz mestilah sekurang-kurangnya ‘check’ dulu boleh ke tak boleh, elok atau tidak (pusat tahfiz yang dipilih), adakah ia berdaftar supaya kita boleh menangani secara berkesan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang insiden kematian seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun di sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Temerloh di Pahang yang dikesan mempunyai lebam pada badan.

Dalam kejadian Khamis lepas, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar, maut dengan kesan lebam pada badannya.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, laporan mengenai hasil bedah siasat akan diketahui dalam waktu terdekat.

– BERNAMA


Pengarang :