Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika melancarkan Sistem Mysynergy pada perasmian Program Sinergi Sosial di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) pada 11 November 2019. -Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TPM: Program Sinergi Sosial tingkat kualiti perkhidmatan PERKESO

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Program Sinergi Sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal mewujudkan horizon baharu dalam kualiti sistem penyampaian perkhidmatan ditawarkan agensi yang menyediakan manfaat keselamatan sosial di seluruh negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program bertemakan ‘Sinergi Perkasa, Rakyat Sejahtera’ itu juga adalah formula terbaik bagi mengatasi permasalahan ekonomi yang melanda rakyat Malaysia khususnya golongan B40.

“Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pendapatan sara hidup dan mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara.

“Melalui sistem jaringan keselamatan sosial yang disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam negara, kerajaan akan memastikan tiada rakyat khasnya daripada kumpulan B40 yang benar-benar memerlukan pertolongan tercicir daripada senarai bantuan,” katanya ketika merasmikan Program Sinergi Sosial dan pelancaran Sistem MySynergy di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Program Sinergi Sosial adalah inisiatif bagi mewujudkan ekosistem keselamatan sosial dalam negara dengan pembabitan 17 rakan strategik terdiri daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Kesemua agensi itu akan bergabung di bawah satu landasan yang membentuk satu jaringan keselamatan sosial holistik dan penyelesaian menyeluruh bagi rakyat Malaysia.

Ia juga bertujuan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan rakyat dan menjadikan mereka berpengetahuan berkenaan pengurusan kewangan sistematik.

Antara agensi terlibat adalah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Agama Islam Negeri Melaka dan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia.

Menurut Dr Wan Azizah, program itu juga dibina atas jaminan bahawa ia tidak akan mengganggu akta, peraturan dan dasar bagi agensi yang menyertai.

Beliau berkata program itu juga telah didaftarkan dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi dan mendapat pengesahan hakcipta daripada Perbadanan Pengurusan Harta Intelek.

Dalam pada itu, beliau berkata Sistem MySynergy yang diguna pakai dalam program itu pula mengadaptasi teknologi lejar digital terbuka atau blockchain yang dibina, ditadbir, diselia dan diselenggara sepenuhnya oleh Perkeso.

“Akses telah diberikan kepada semua agensi terlibat secara percuma dan sistem itu berupaya menjana dan menyimpan data keselamatan sosial yang terbesar di Malaysia.

“Justeru, saya menggesa lebih banyak agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut serta dalam program ini yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat. Ia juga selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menyediakan taraf hidup wajar kepada semua,” katanya.

Terdahulu, Kula Segaran dalam ucapannya berkata program itu telah bermula pada 7 Ogos 2018 dan sehingga Oktober 2019, sejumlah 1,167 orang daripada pelbagai latar belakang telah didaftarkan menerusi program itu.

“Dengan terlaksananya program usaha sama ini, secara tidak langsung ia bakal melahirkan pekerja berkebolehan sebagai pengamal keselamatan sosial dengan memiliki kemahiran bukan sahaja dalam aspek perlindungan pekerjaan malah meliputi bidang kewangan, perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Bercakap kepada pemberita, Kula Segaran berkata beliau akan menyarankan agar semua kementerian turut serta dalam Program Sinergi Sosial itu agar semua lapisan masyarakat dapat menerima manfaatnya.

“TPM (Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat) juga memberi respons positif dengan mengatakan akan membincangkannya dengan warga kementerian itu mengenai program ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :