Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

TPM: Tegak aspek akauntabiliti dalam urus dana sumbangan

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, organisasi dan yayasan yang menerima sumbangan orang ramai atau pihak lain perlu menegakkan prinsip akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pendekatan sedemikian pastinya akan memberi satu tahap keyakinan yang tinggi kepada penyumbang dan menggalakkan mereka untuk memberi bantuan berterusan.

“Ini termasuklah menyediakan laporan tahunan penerimaan dan perbelanjaan seperti pemberian kepada kumpulan sasar dan dipaparkan dalam laman sesawang masing-masing.

“Ambillah langkah-langkah perlu bagi memastikan tiada ketirisan dalam pengurusan dana yang diperoleh. Laksanakan pemantauan dan audit berterusan bagi mengelak sebarang masalah di kemudian hari,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika melancarkan inisiatif Bantuan Metro Prihatin di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, setiap sen yang disumbang sampai kepada penerima yang layak dan benar-benar digunakan untuk tujuan bermanfaat.

Bagi menggalakkan sektor swasta menderma dan meningkatkan tanggungawab sosial, beliau berkata, jumlah nilai ambang pelaporan derma akan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM20,000 mulai tahun hadapan.

Nilai ambang pelaporan derma dikuatkuasakan pada 5 September lepas di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam pada itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, Bantuan Metro Prihatin yang bernaung di bawah Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP membolehkan masyarakat menyumbang dengan lebih mudah dan konsisten, dengan penyeliaan dana lebih terkawal.

– BERNAMA


Pengarang :