Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tuduhan Tun M campur tangan kes Najib tidak berasas – Anwar

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Dakwaan kononnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tuduhan tidak berasas sama sekali, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata proses undang-undang di negara ini berjalan dengan telus serta bebas dan ia perlu dihormati.

“Saya tidak mahu masuk campur …keputusan hakim (adalah) minta Najib bela diri, jadi proses undang-undang masih berterusan.

“Saya fikir kita tidak patut layan sesetengah dakwaan kecuali mereka memberikan fakta atau bukti untuk menyokongnya, jika tidak kita patut biarkan proses (undang-undang) diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ahli Majlis Tertinggi UMNO Lokman Noor Adam mendakwa Dr Mahathir terlibat campur tangan dalam kes membabitkan bekas perdana menteri itu.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

-BERNAMA


Pengarang :