Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tun M ‘okay’, bertugas seperti biasa

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam keadaan sihat dan tidak membimbangkan selepas mengalami sedikit pendarahan hidung.

Menurut satu mesej yang dikongsi bersama pengamal media oleh Pejabat Perdana Menteri, berita yang menyatakan perdana menteri bergegas untuk mendapatkan rawatan adalah tidak benar.

“Beliau bertugas seperti biasa,” menurut mesej itu lagi.

Sebuah organisasi media melaporkan Dr Mahathir menamatkan lebih awal sidang medianya pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa 2019 (PIPOC) anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), di sini, hari ini, didakwa disebabkan mengalami pendarahan hidung.

Sementara itu, seorang pembantu khas perdana menteri berkata Dr Mahathir, turut melihat kereta menggunakan kuasa biodiesel selepas bercakap kepada media.

“Beliau okay sebab selepas sidang media, Tun pergi tengok kereta biodiesel,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

“Jadi tidak betullah (media) cakap (beliau) bergegas untuk mendapatkan rawatan perubatan,” kata pembantu khas itu.

-BERNAMA


Pengarang :