Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tun Mahathir lawat aset LNG terapung kedua Petronas

GEOJE (Korea Selatan), 27 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tiba di Samsung Heavy Industries Geoje Shipyard untuk lawatan ke aset kemudahan Gas Asli Cecair Terapung 2 Petronas (PFLNG) di sini.

Perdana Menteri diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang menjadi ‘Lady Sponsor’ akan memotong tali pada majlis menamakan kemudahan itu hari ini.

Kapal kedua yang merupakan unit pengeluaran LNG laut dalam dengan kapasiti 1.5 juta tan setahun itu, memulakan pembinaannya pada 2015, dan kini dijadualkan berlayar pada Februari 2020.

Ia adalah kapal LNG terapung pertama yang berupaya mencapai rizab gas laut dalam yang terletak sehingga 1,500 meter di bawah air.

Kemudahan itu adalah 100 peratus milik syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan dibina oleh sebuah konsortium JGC Corporation of Japan dan Samsung Heavy Industries di Korea Selatan.

Kunjungan ke kemudahan di Geoje, sebuah bandar yang terletak di wilayah Gyeongsang Selatan, di bandar pelabuhan Busan, adalah sebahagian daripada lawatan rasmi Dr Mahathir ke negara ini.

Dr Mahathir tiba di Busan pada 24 November 2019 untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan, diikuti lawatan rasmi ke Seoul dari 27-28 November, 2019.

Ini adalah lawatan rasmi pertamanya ke Korea Selatan sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Mei 2018

-BERNAMA


Pengarang :