Pelancong menyeberangi jalan untuk melawat India Gate ketika kualiti udara di New Delhi tercemar dan peningkatan bahan toksik pada 3 November 2019. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Udara New Delhi teruk dengan peningkatan toksik

NEW DELHI, 3 NOV: Pencemaran udara di New Delhi terus mencetuskan kebimbangan dan dengan bermulanya musim sejuk, orang ramai mula berlumba-lumba membuat persiapan berdepan situasi lebih buruk ekoran peningkatan toksik.

Topeng muka dan peralatan pembersih udara menjadi dua benda penting.

Aktiviti olahraga, berbasikal dan bersenam di kawasan terbuka kini menjadi kegiatan berbahaya.

Kanak-kanak, warga emas dan wanita golongan paling berisiko menghadapi masalah kesihatan berkaitan pernafasan.

Kerajaan negeri New Delhi pada Jumaat mengarahkan sekolah ditutup sehingga 5 November.

Ketua Menteri, Arvind Kejriwal menyalahkan pembakaran untuk tanaman semula oleh petani negara jiran menyumbang kepada masalah itu.

Pihak berkuasa turut melarang aktiviti pembinaan selama lima hari.

Kualiti udara semakin merosot sejak Ahad disebabkan permainan bunga api sempena Deepavali, hospital juga menerima banyak pesakit yang mengalami masalah pernafasan.

“Setiap tahun menyaksikan kualiti udara yang semakin merosot selepas Deepavali. Mereka yang dijangkiti masalah pernafasan terdiri golongan yang sebelum ini dikategorikan sihat,” kata penolong profesor di Institut Sains Perubatan All India, Karan Madan kepada media tempatan.

Penduduk di New Delhi sekitar 20 juta orang, kebanyakan di pusat bandar besar seperti Ghaziabad, Gurgaon, Noida dan Faridabad.

Menggambarkan keadaan sebagai kecemasan awam, Pihak Berkuasa Kawalan Pencemaran Alam Sekitar pada Jumaat menggesa undang-undang lebih ketat dikuatkuasakan terhadap semua sumber yang menyumbang kepada pencemaran udara.

Asap kenderaan menyumbang kira-kira 40 peratus kepada masalah pencemaran udara, menurut laporan kerajaan.

Pembakaran haram bagi tujuan tanaman semula padi di Punjab dan Haryana antara topik yang sering menjadi perhatian media India, tetapi untuk mengatasinya memerlukan keazaman politik yang kuat memandangkan golongan petani merupakan jumlah pengundi yang ramai.

Indeks kualiti udara di New Delhi pada Jumaat petang berada pada tahap “paling teruk” dengan bacaan 484 pada skala 500.

– BERNAMA


Pengarang :