Pemain dari pasukan UiTM FC sedang memanaskan badan sebelum Perlawanan Bola Sepak Persahabatan Antarabangsa Kelab Australia di UiTM, Shah Alam pada 18 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

UiTM FC giat pilih pemain wakil ke Liga Super 2020

SHAH ALAM, 18 NOV: Pasukan UiTM FC kini sedang giat membuat pemilihan pemain sebelum melangkah penuh yakin ke Liga Super menjelang 2020, kata ketua jurulatihnya, Ismail Zakaria.

Katanya, peluang ke liga berkenaan sudah tentunya berjaya mengangkat nama UiTM FC sebaris dengan pasukan besar termasuk Selangor, JDT dan Pahang.

“Pasukan kami adalah ‘team’ yang kecil sahaja, namun ia bukan alasan untuk UiTM tidak memilih pemain yang berkualiti.

“Walaupun jangkaan tidak terlalu tinggi untuk Liga Super 2020, tetapi sebolehnya ia tidak boleh berada pada kedudukan terlalu rendah kerana kami mensasarkan skuad The Lion Troops untuk terus berada dalam liga berkenaan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Bola Sepak Persahabatan Antarabangsa Kelab Australia 2019 di Padang Sintetik Universiti Teknologi Mara, di sini, hari ini.

Antara pasukan yang bertanding ialah UiTM FC, KL FA, sementara dari luar negara ialah Northern Territories Australia dan Western Australia.

Mengulas mengenai pertandingan itu, Ismail yang juga Bekas jurulatih Sime Darby dan Kuantan FA berkata, ia bakal memberi ruang kepada pemain tempatan bermain dengan pemain luar sekali gus menilai sejauh mana kemampuan setiap pemain.

“Kita mahu pemain dari UiTM FC menonjol dan dilihat kemampuannya oleh pemain tempatan dan juga antarabangsa.

“Walaupun pasukan ini dibarisi pemain `setahun jagung’ dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), bagaimanapun masing-masing menunjukkan kesungguhan,” katanya.


Pengarang :