AGENDABERITA UTAMANASIONAL

UK setuju ambil balik 42 kontena sisa plastik

KUALA LUMPUR, 25 NOV: United Kingdom (UK) bersetuju untuk mengambil semula 42 kontena mengandungi sisa plastik yang dihantar melalui penghantaran haram ke Malaysia, sejajar dengan Konvensyen Basel.

Suruhanjaya Tinggi Britian di Kuala Lumpur dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, pihak berkuasa dan ejen perkapalan sedang bekerjasama dalam proses penghantaran balik kontena berkenaan.

Kontena tersebut yang tiba di Pelabuhan Pulau Pinang antara Mac 2018 dan Mac 2019, dianggap sebagai tidak sah kerana tidak mematuhi dokumen import yang diperlukan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, tindakan proaktif Suruhanjaya Tinggi Britian yang bekerjasama rapat dengan MESTECC untuk membawa pulang kontena berkenaan amat dipuji.

Kerjasama ini, katanya, menandakan perakuan bahawa pencemaran bahan plastik adalah isu global yang memerlukan komitmen daripada pelbagai negara untuk menangani masalah tersebut.

“Kami berharap kerjasama dan kefahaman antara Malaysia dan UK akan menjadi contoh kepada negara-negara lain yang syarikat mereka mengeksport sisa plastik tercemar ke negara membangun lain,” katanya dalam kenyataan itu.

Pesuruhjaya Tinggi Britian ke Malaysia, Charles Hay berkata, kerajaan UK berkongsi kebimbangan sama seperti kerajaan Malaysia mengenai isu sisa plastik.

“Penghantaran balik 42 kontena ini mencerminkan komitmen kami untuk memerangi perdagangan sisa plastik secara haram,” katanya, sambil menambah bahawa UK berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam agenda yang lebih luas untuk memelihara alam sekitar dan menangani perubahan iklim.

Pengumuman berkenaan susulan lawatan Agensi Alam Sekitar (EA) Uk baru-baru ini, yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Britain sebagai respons kepada berita mengenai penghantaran sisa plastik secara haram dari UK.

Menurut kenyataan itu, EA telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan MESTECC, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak berkuasa dan agensi pelabuhan yang berkaitan di Malaysia.

Menurutnya, pertemuan berkenaan telah menghasilkan pemahaman bersama mengenai rangka kerja dan dasar pengawalseliaan yang berkaitan dengan perdagangan dalam sisa plastik, serta pertukaran pengetahuan dalam perkongsian prosedur pemeriksaan, pengenalan dan penghantaran balik sisa plastik.

MESTECC dan suruhanjaya tinggi itu telah menjalin kerjasma dalam beberapa inisiatif untuk menangani pencemaran plastik, termasuk menganjur bersama tayangan VIP rancangan Blue Planet II terbitan BBC Studio untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keburukan plastik sekali guna.

Selain itu, suruhanjaya tinggi itu menawarkan kepakaran UK dari WRAP Global, badan amal kelestarian UK, untuk menyokong inisiatif MESTECC dalam mewujudkan Perjanjian Plastik Malaysia.

Suruhanjaya tinggi itu juga akan menghantar pakar UK untuk mengadakan bengkel usaha sama dalam perkongsian dengan MESTECC bagi menggalakkan penyelidikan dan inovasi dalam mengurangkan penggunaan plastik.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa UK dijangka menjadi pengerusi bersama Persidangan Pelbagai Pihak ke Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP26) Ke-26 tahun depan.

– BERNAMA


Pengarang :