Foto ihsan UKM
AGENSISELANGOR

UKM serah urusan pemilihan MPP kepada mahasiswa

BANGI, 20 NOV: Buat pertama kalinya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyerahkan sepenuhnya urusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2019/2020 kepada mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dato’ Dr Othman A Karim berkata proses pengundian berjalan lancar walaupun tahun pertama diurus sepenuhnya oleh pelajar.

“Saya berharap mahasiswa yang berjaya terpilih dalam MPP menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam menyampaikan suara dan pandangan kepada pihak pengurusan.

“Jalankan tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab,” katanya melalui portal UKM.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP Sesi 2019/2020, Muhammad Khabir Hariz A Rahim berkata proses pemilihan MPP dijalankan mengikut penyelarasan oleh pentadbiran.

“Daripada sudut pelaksanaan pula, kita mengambil contoh dan konsep yang dilaksana Suruhanjaya Pilihan Raya seperti penggunaan kertas undi berkonsepkan logo parti dan bukan lagi gambar calon.

“Kita juga membenarkan pendaftaran kumpulan pelajar untuk berkempen. Jadi, mereka ini tidak lagi berkempen atas kapasiti individu,” katanya.


Pengarang :