AGENSISELANGOR

UNISEL bergerak ikut piawaian antarabangsa – Canselor

BESTARI JAYA, 30 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) diiktiraf sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bergerak mengikut piawaian antarabangsa selepas memperoleh dua pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO) secara serentak.

Canselornya, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda berkata, lebih membanggakan apabila UNISEL menjadi antara universiti pertama di negara ini menerima pengiktirafan oleh SIRIM iaitu ISO9001:2015 dan ISO 21001:2018 Educational Organisation Management System (EOMS).

“Saya yakin pengiktirafan ini membolehkan UNISEL bersaing dengan IPT lain dari segi kualiti perkhidmatan yang diberikan.

“Keupayaan UNISEL menjadi universiti terkemuka sudah tentu memerlukan pengurusan efisien, teratur dan penuh dengan sistem berkesan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke-14, di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Raja Arshad berkata, sejak empat tahun lalu universiti berkenaan juga sudah menjangkau ke era yang membanggakan selepas tampil dengan imej berwajah baharu bagi memenuhi aspirasi pendidikan terbilang.

Katanya, banyak perubahan dilakukan khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur yang dinaik taraf demi memberi keselesaan kepada seluruh warga kampus.

“Justeru, kita akan bergerak dengan lebih proaktif menuju sebuah universiti unggul dan berkualiti dalam melahirkan graduan bermotivasi tinggi, optimistik serta berdaya saing.

“Selain itu, kita komited menyediakan persekitaran pendidikan yang kondusif kepada pengajaran, pembelajaran dan hubungan sosial masyarakat kampus.

“Ini juga sejajar dengan moto menjadi sebuah universiti yang mampu membentuk profesional dan ilmuwan dengan moral serta nila etika yang tinggi,” katanya.


Pengarang :